PDRM Berkas 4 Suspek Pejuang LTTE

Kuala Lumpur – Empat warganegara asing yang disyaki sebagai anggota kumpulan pejuang Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) ditahan dalam satu operasi yang dilancarkan serentak sekitar Kuala Lumpur dan Selangor semalam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, keempat-empat suspek dipercayai merupakan anggota kanan LTTE yang terlibat dalam serangan di Sari Lanka serta merancang untuk menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi mereka.

“Suspek pertama merupakan pemegang kad United Nation High Commissioner fo Refugees (UNHCR) dan adalah pakar membuat bahan letupan.

“Suspek kedua pula terlibat dalam cubaan membunuh bekas Presiden Sri Lanka, Chandirka Kumaratunga pada 18 Disember 1999 melibatkan anggota wanita penyerang berani mati LTTE,” katanya dalam satu kenyataan.

Khalid berkata, suspek ketiga pula turut bersubahat dengan seorang warganegara Sri Lanka yang ditangkap oleh Bahagian Counter Terrorism pada 14 Mei lalu kerana merancang serangan di konsulat asing di Chennai dan Bangalore, India.

“Malah, suspek yang sama juga turut terlibat dalam aktiviti pemalsuan dokumen perjalanan dan pas pelajar warga asing serta aktiviti penyeludupan manusia.

“Suspek keempat pula dipercayai terlibat dalam pengumpulan dan penyaluran maklumat kepada LTTE untuk tujuan merancang serangan,” katanya.

Menurut beliau, dalam serbuan itu turut dirampas sejumlah pasport palsu pelbagai negara dan cop rasmi palsu Jabatan Imigresen Malaysia dan kedutaan asing.

“Pihak polis memnadang serius aktiviti anasir pengganas asing yang cuba menjadikan Malaysia sebagai transit, tempat perlindungan dan pangkalan operasi mereka.

“Ini ditambah pula dengan kecenderungan segelintir daripada mereka yang mengeksploitasi kad pelarian UNHCR untuk mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa,” katanya.

Kesemua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.