Niat Saya Nak Jadikan Ibu Kota Bersih – Ku Nan

Kuala Lumpur – Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sedia memberi penjelasan termasuk membuat pindaan terhadap undang-undang berkaitan kegiatan mengemis di ibu negara yang menjadi kontroversi mutakhir ini.

Menerusi laman sosial Facebook miliknya, Tengku Adnan berkata, niat sebenar beliau adalah untuk memperbetulkan keadaan di ibu kota dan sedia untuk memberi penerangan kepada pihak yang salah tanggap terhadap kenyataannya.

“Saya tak menidakkan usaha-usaha murni mana-mana pihak yang membantu gelandangan dan fakir miskin di ibu kota. Saya juga telah terbaca kata-kata kesat yang telah dilemparkan kepada saya.

“Saya nak maklumkan bahawa niat saya tak sedemikian. Saya harap masyarakat dan orang ramai faham masalah yang sedang dihadapi. Niat saya nak jadikan ibu kota bersih. Untuk itu, saya sedia mendengar dan buat pindaan terhadap apa-apa yang perlu,” ujar Tengku Adnan.

Menurut Tengku Adnan, pihaknya bukan menghalang sebarang aktiviti kebajikan sedemikian, namun ia sebagai inisiatif dalam memastikan ibu kota tidak terus tercemar baik dari segi keberadaan golongan itu, mahupun daripada aspek kebersihan.

Tambahnya lagi, pihaknya dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengenalpasti pusat pengagihan makanan yang sesuai supaya NGO terbabit boleh meneruskan aktiviti sukarelawan mereka.

“Aktiviti seperti ini hanya menggalakkan orang ramai untuk menjadi gelandangan dan menganggur. Terdapat ramai orang seperti itu yang kami bantu untuk dapatkan pekerjaan tetapi kembali ke tabiat lamanya kerana mereka menyifatkan ia lebih mudah,” ujar Tengku Adnan.

Terdahulu, beliau dipetik sebagai berkata, pemberi dan peminta sedekah bakal berdepan hukuman seperti denda apabila undang-undang berkaitan kegiatan mengemis di ibu negara diperketat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.