MH370: Ramadan Hambar Tanpa Suami

Kuala Lumpur – Ramadan kali ini hambar bagi Nur Laila Ngah, 40 tahun yang merupakan isteri kepada kru pesawat MH370 yang masih belum ditemui.

Walaupun sudah lebih tiga bulan kehilangan pesawat terbabit, namun Nur Laila masih mengharapkan kepulangan suaminya, Wan Swaid Wan Ismail, 42 tahun yang merupakan pramugara kanan Malaysia Airlines (MAS) untuk sama-sama menyambut Ramadan dan meraikan Syawal.

Mengimbau kenangan lalu, Nur Laila tidak lokek menceritakan kenangan manis bersama suaminya ke bazar Ramadan.

“Pada Ramadan tahun lepas, kami banyak menghabiskan masa bersama. Kami selalu ke bazar untuk mencari juadah bersama. Antara kegemarannya adalah air bandung, kuih akok, roti john dan kuih seri muka,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Menurut Laila, dia mengambil kesempatan di bulan Ramadan untuk terus berdoa agar suaminya pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat.

“Setiap hari sewaktu berbuka dan sahur, saya terbayangkan suami. Hanya doa yang mampu saya pohon. Antara doa yang dimakbulkan oleh Allah adalah waktu sebelum berbuka puasa,” katanya.

Menurut Nur Laila, kenangan bersama suami masih kuat di ingatan ditambah pula dengan rengekan anaknya yang sering bertanyakan mengenai bapa mereka.

“Anak-anak masih mengharapkan kepulangan daddy mereka untuk sama-sama berpuasa dan menyambut Hari Raya,” ujarnya sebak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.