Isu Tukar Agama, Ia Memang Sensitif – Amy Search

Kuala Lumpur – Penyanyi rock popular, Amy Search atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman mengakui menulis kata-kata kesat kepada anaknya Nabila Huda di Instagram pada pertengahan bulan lalu.

Memetik laporan dari laman portal gua.com.my Amy dilapor berkata, beliau adalah individu yang bertanggungjawab dalam hal itu dan menafikan ia melibatkan isterinya.

“Saya yang tulis, memang saya dan bukannya isteri saya. Sama ada orang luar suka atau tidak dengan tindakan saya itu, terpulang. Saya akan bertanggungjawab dengan apa yang saya tulis,” katanya.

Menurut Amy, tindakannya menulis komen sebegitu bukan disebabkan pengaruh daripada sesiapa dan mengakui menulis komen sebegitu kerana terkejut dengan soalan yang diajukan pihak media perihal kontroversi terbaru membabitkan anaknya itu.

“Apabila ada wartawan yang menghubungi saya bertanyakan isu tukar agama dan pergi bercuti, saya rasa seperti jantung saya terhenti sekejap.

“Soalan itu buat saya hilang pertimbangan seketika sehingga menyebabkan saya menulis status seperti itu. Ditambah pula pertanyaan mengenai teman lelaki, terus saya hilang akal.

“Saya bukan geram dengan soalan daripada pihak media tapi bila ia menyentuh soal agama, ia memang sangat sensitif. Saya memang tidak boleh bertoleransi jika ia membabitkan agama,” ujarnya sambil menegaskan tidak mahu lagi memberi sebarang komen mengenai Nabila.

Jelasnya, ia bukan bermaksud beliau tidak ambil peduli terhadap anaknya itu tetapi beliau menganggap Nabila sebagai seorang dewasa yang tahu menilai dirinya sendiri.

“Bagi saya, dia seorang yang berbakat, jadi jagalah bakat yang ada dan janganlah asyik timbulkan isu sehingga membolehkan orang bercakap buruk pasal dirinya,” kata Amy mengakui sudah lama tidak bertemu dengan anaknya itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.