Gerakan Militan : Polis Pantau Ancaman Marwan

Kuala Lumpur – Agensi-agensi keselamatan serantau dikatakan sedang meneliti semula pergerakan warga Malaysia, Zulkifli Abd Khir berikutan ancamam keganasan di Asia Barat dan kesannya terhadap Asia Tenggara.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti-Pengganas, Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Ayob Khan mengesahkan Zulkifli atau lebih dikenali sebagai Marwan masih hidup, walaupun laporan terdahulu mengatakan beliau terbunuh dalam serangan udara pada 2 Februari 2012.

“Kami menyedari laporan yang mengatakan dia terbunuh beberapa tahun lalu. Itu tidak benar. Kami percaya dia masih bersembunyi di selatan Filipina,” katanya pada Khamis.

Ayob berkata, pasukannya kini sedang mengesan Marwan dan memantau individu yang rapat dengannya.

Ketika ditanya sama ada Zulkifli mungkin terlibat dalam gerakan kumpulan militan di negara ini dan menghantar pejuang ke Syria dan Iraq, beliau berkata, polis tidak menolak sebarang kemungkinan.

Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) sebelum ini menawarkan RM16 juta sebagai bayaran untuk mendapatkan kepala Zulkifli dan usaha dipertingkatkan susulan ancaman terbaru itu.

Bekas jurutera berusia 48 tahun yang mendapat latihan di AS turut dikaitkan dengan kumpulan Abu Sayyaf yang aktif di selatan Filipina.

Menurut laporan The Star, abangnya, Rahmat Abdhir seorang warga AS kini berada di kem tahanan Guantanamo selepas ditahan di California kerana bersubahat membantu pengganas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.