Dua Korban Sengketa Agama

Yangon – Perusuh pelampau Buddha menaiki motosikal di bandar Mandalay bertindak membaling batu ke arah masjid dan kedai dimiliki orang Islam untuk hari kedua berturut-turut pertelingkahan yang mengakibatkan sekurang-kurangnya dua kematian.

Seorang mangsa dikenal pasti beragama Islam, menurut U Tin Aung, pegawai yang menguruskan pengebumian mangsa. Penduduk tempatan berkata mangsa dipercayai diserang ketika berjalan ke masjid untuk solat Subuh

Jurucakap polis berkata, mangsa kedua beragama Buddha namun keadaan kematiannya masih disiasat.

Pertelingkahan bermula pada malam Rabu lalu di bandar ini dipercayai kejadian keganasan paling teruk di bandar ini.

Kejadian itu turut menimbulkan kebimbangan keganasan lebih teruk berlaku di Mandalay – pusat bersejarah kebudayaan Buddha yang mempunyai masyarakat penganut Buddha serta Islam yang sebelum ini hidup aman.

Setiausaha Pusat Konvensyen Agama Belia Myanmar, Khin Maung Oo berkata, pertelingkahan bermula Selasa lalu ekoran khabar angin seorang pemilik kedai minum Islam merogol seorang wanita Buddha.

Polis tidak menafikan atau mengesahkan sama ada kejadian itu benar-benar berlaku, namun mengakui menerima maklumat bahawa kedai berkenaan akan diserang dan pemiliknya diminta menutup kedainya lebih awal dari biasa.

Ratusan anggota polis terpaksa mengawal keadaan selepas lebih 300 pelampau Buddha yang menyanyikan lagu kebangsaan berarak ke arah kedai berkenaan.

Anggota polis menembak peluru getah untuk menyuraikan orang ramai yang kemudian berpecah kepada kumpulan kecil yang terus membuat kacau selama beberapa jam.

Sebuah masjid mengalami kerosakan kecil akibat dibaling batu, malah beberapa kedai milik orang Islam turut digeledah.

Beberapa kenderaan juga dibakar.- AP

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.