Artis Hijrah Pakai Tudung, Jangan Jadi ‘Ustazah Mi Segera’ – Ustaz Kazim Elias

Kuala Lumpur – Golongan selebriti yang berhijrah ke arah kebaikan dengan memakai tudung digesa tidak menjadi ‘ustazah mi segera’.
Penceramah bebas, Ustaz Kazim Elias berkata golongan ini haruslah belajar terlebih dahulu mengenai selok belok hukum agama sebelum tampil memberikan ceramah agama kepada khalayak.

Ujarnya, trend selebriti yang baru sahaja memakai tudung dan terus membawa watak sebagai ustazah ini menggusarkan banyak pihak selain menimbulkan rasa jengkel di kalangan peminat industri hiburan tanah air.

“Alhamdulillah…bagus ramai artis yang berhijrah ke arah kebaikkan kerana ia dapat mempengaruhi peminat mereka untuk melakukan perkara sama tetapi biarlah ia disertai dengan ilmu agama yang cukup.

“Jangan hari ini beritahu sudah berubah lalu mengenakan tudung dan terus hendak menjadi seorang ustaz atau ustazah kerana banyak perkara yang perlu didalami mereka terlebih dahulu,” ujar Ustaz Kazim.

Beliau juga menegaskan adalah besar risiko untuk seseorang selebriti menyampai ceramah agama, walhal ilmunya cetek di dada.

“Jika asas dalam bidang agama tidak cukup bagaimana hendak berceramah kepada orang lain malah ia boleh menjadi risiko besar.

“Tambahan pula dengan teknologi hari ini apa yang kita perkatakan dalam masa lima minit, ia akan tersebar di laman sosial dan YouTube. Jadi golongan ini harus berhati-hati dan belajar terlebih dahulu,” tegasnya lagi.

Sebuah blog hiburan, memberitahu terdapat di kalangan selebriti meminta bayaran yang mahal semata-mata untuk berkongsi pengalaman hijrahnya sahaja.

“Walaupun bukan semua selebriti wanita berhijrah bersikap seperti ‘ustazah mi segera” ini, segelintir daripada mereka turut sama meminta bayaran yang melampau semata-mata untuk berkongsi cerita penghijrahan mereka.

“Harap-harap perkara sebegini tak akan terjadi lagi. Daripada sibuk sertai ceramah sana sini, lebih baik pergi kuliah agama untuk mendalami ilmu agama,” ujar penulis blog itu.

Akhir-akhir ini ramai golongan artis berhijrah setelah mendakwa mendapat hidayah daripada Ilahi.

Antaranya, Abby Abadi, Diana Amir, Heliza Helmi, Irma Hasmie, Yatt Hamzah, Natasha Hudson, Catriona Ross, Farah AF, Akma AF, Raja Farah, Umie Naziera, Fara Fauzana, Neelofa dan banyak lagi.

2 thoughts on “Artis Hijrah Pakai Tudung, Jangan Jadi ‘Ustazah Mi Segera’ – Ustaz Kazim Elias

  • July 4, 2014 at 9:31 pm
    Permalink

    Aiii… Ok laa org tu nk jd ustazah.. Klau dia berhijrah, pakai tudung tp jadi pelacur, ko nak tanggung ke dosa??? Pegi cukur misai dulu laa lebai!!..

    Reply
  • July 5, 2014 at 1:48 am
    Permalink

    Aii ada misai pun salah? Nak jadi ustazah tapi ilmu agama tak cukup nak jadi ustazah?? Hancussss

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.