PUTRAJAYA, – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengucapkan penghargaan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) atas penjelasan yang diberikan berhubung isu pengampunan penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 2018.
Menurut Dr. Mahathir, penjelasan tersebut sekaligus membersihkan namanya daripada dakwaan bahawa proses pengampunan terhadap Datuk Seri Anwar tidak mengikuti prosedur yang sewajarnya.
“Penjelasan itu melepaskan saya dari tuduhan-tuduhan bahawa saya tidak mengikut proses yang betul dalam mendapatkan pengampunan untuk Datuk Seri Anwar, seperti yang pernah dituduh terhadap saya sebelum ini, termasuk dalam isu Pulau Batu Putih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mendedahkan bahawa sejak Mei 2018, selepas pengumuman pengampunan Anwar, terdapat pengamal undang-undang termasuk yang rapat dan yang tidak sehaluan dengannya mempertikaikan proses tersebut. Tambahnya, perkara itu pernah dibawa ke mahkamah selepas beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada Februari 2020.
Walaupun saman tersebut akhirnya ditolak oleh Mahkamah Persekutuan atas alasan akademik dan selaras dengan Perlembagaan, isu ini kembali menjadi perhatian apabila timbul perdebatan berhubung titah tambahan (addendum) Yang di-Pertuan Agong berkaitan permohonan tahanan rumah oleh Datuk Seri Najib Razak.
Dr. Mahathir menyifatkan perbandingan antara kes Anwar dan Najib telah membangkitkan semula pertikaian terhadap proses pengampunan Anwar, termasuk dakwaan wujudnya “keistimewaan” yang tidak diberikan kepada pihak lain.
“Sekali lagi, peranan saya dalam proses pengampunan Datuk Seri Anwar dipertikai,” katanya.
Dalam kenyataan sama, beliau turut menyentuh tindakan Datuk Seri Anwar yang memohon imuniti daripada menghadapi saman sivil oleh bekas pembantunya atas dakwaan serangan seksual.
Mahathir menegaskan bahawa tindakan itu menimbulkan persoalan mengenai prinsip keadilan.
“Bagi pengkritik, tindakan Anwar untuk mendapatkan imuniti ini bertentangan dengan konsep keadilan negara di mana tiada sesiapa pun patut kebal daripada proses undang-undang,” jelasnya.
Beliau memberi amaran bahawa siri isu berkaitan Anwar, termasuk pengampunan dan permohonan imuniti, jika tidak ditangani dengan telus, boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman negara.
“Pihak AGC harus sedar semua pertikaian ini saling berkaitan dan jika tidak ditangani, ia akan menjadi penyakit yang terus menghakis kepercayaan orang ramai terhadap sistem keadilan negara,” tegas beliau.