Kota Kinabalu, – Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menyambut baik pendirian terbuka Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan kesediaan Barisan Nasional (BN) untuk menjalin kerjasama lebih luas bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Salleh menyifatkan kenyataan Zahid pada 15 Mei lalu sebagai langkah bijak yang memberi ruang kepada pembentukan satu “kerjasama besar” antara BN, Pakatan Harapan (PH), dan mana-mana parti lain termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) demi kestabilan politik negeri.
Menurut Salleh, kerjasama BN dengan PH dan lain-lain (BN-PH +++) bukan sekadar strategi pilihan raya, tetapi merupakan wadah perpaduan dan kestabilan. Beliau berkata ini adalah masa terbaik untuk semua pihak duduk semeja dan mencari titik pertemuan demi kepentingan rakyat Sabah.
Tambah beliau, penjajaran politik secara praktikal penting disusun semula, manakala pembahagian kerusi boleh dirunding berdasarkan prinsip agihan yang adil dan dasar yang dipersetujui bersama.
Sementara itu, Zahid menjelaskan bahawa kerjasama antara ketiga-tiga gabungan utama – BN, PH dan GRS – masih di peringkat awal dan belum dimuktamadkan.
“Kita akan perhalusi pengumuman itu dan kita akan santuni jika ada titik-titik perbedaan bagi gabungan ketiga-tiga gabungan besar ini, terutamanya untuk memastikan kerusi-kerusi yang akan kita tandingi tidak bertindih antara satu sama lain,” katanya.
Zahid turut menegaskan bahawa UMNO berpegang kepada prinsip menuntut semula kerusi yang ditandingi parti itu sekiranya penyandangnya berpindah ke parti lain.
“Satu pegangan UMNO ialah mana-mana kerusi yang telah ditandingi oleh UMNO dan ADUN itu lari ke mana-mana parti, kita wajib untuk menuntut kerusi itu.
“Malah, ada beberapa kerusi yang pada asalnya telah dipersetujui untuk ditandingi oleh UMNO, tetapi di saat akhir berlaku manipulasi yang menyebabkan empat kerusi itu ditandingi oleh bekas pemimpin UMNO,” katanya lagi.
Kenyataan kedua-dua pemimpin ini memberi gambaran bahawa hala tuju politik Sabah kini semakin menuju ke arah permuafakatan lebih luas, namun tertakluk kepada rundingan mendalam khususnya dalam soal pembahagian kerusi dan persefahaman dasar bersama.-Suara.TV