PTTI Taja RM100,000 untuk pendidikan pelajar kurang berkemampuan di Muar

- Advertisement -

Cyberjaya, 4 Jun – Dalam usaha memperkasa pendidikan dan memberikan peluang saksama kepada pelajar-pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, Pusat Tuisyen PTTI telah menyalurkan tajaan sebanyak RM100,000 kepada Parlimen Muar, Johor. Tajaan berkenaan diserahkan kepada Ahli Parlimen Muar, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membantu pelajar kurang berkemampuan di kawasan tersebut, terutamanya dalam menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Majlis penyerahan tajaan berlangsung dalam suasana penuh semangat di acara Roadtour Skor A+ SPM PTTI yang dianjurkan di IDCC Shah Alam dan dihadiri hampir 4,000 calon SPM dari seluruh negara. Program ini memberi peluang kepada para pelajar mendapat bimbingan intensif secara bersemuka daripada barisan Pakar SPM PTTI, di samping sesi motivasi daripada tokoh-tokoh inspirasi.

Tajaan ini membolehkan pelajar terpilih daripada kawasan Parlimen Muar mendapat akses kelas tuisyen dalam talian, modul pembelajaran berkualiti, dan sokongan akademik secara percuma. Ia menyasarkan pelajar yang berada dalam kelompok B40, terutama di kawasan pedalaman seperti Sungai Balang, yang menghadapi kesukaran untuk menghadiri kelas fizikal.

YB Syed Saddiq menyifatkan tajaan itu sebagai pelaburan jangka panjang untuk masa depan negara.

“Saya kena ucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Cikgu Farhana dan pasukan PTTI atas sumbangan yang sangat besar. Pendidikan memang merupakan keutamaan anak-anak kita dan bukan semua ada kesempatan atau kemampuan untuk mendapat akses kepada kelas tuisyen yang berkualiti,” katanya ketika ditemui media selepas majlis.

Beliau turut mengumumkan bahawa daripada jumlah keseluruhan RM100,000 itu, sebanyak RM20,000 yang disalurkan secara langsung kepadanya akan disumbangkan semula kepada pelajar dalam bentuk peranti pembelajaran seperti komputer riba dan tablet. Peranti ini akan diagihkan menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan bernilai RM120,000.

“Saya ambil keputusan untuk kembalikan kesemua RM20,000 itu kepada anak-anak kita melalui pembelian peranti. Kalau pelajar nak belajar tapi tiada gajet atau internet, itu pun satu bentuk kekangan besar. Jadi kita cuba bantu mereka ‘catch up’,” katanya lagi.

Inisiatif ini menurut beliau, bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi mencerminkan komitmen bersama antara sektor swasta dan wakil rakyat dalam memecahkan kitaran kemiskinan melalui pendidikan.

“Bukan semua ibu bapa mampu menghantar anak ke kelas tuisyen fizikal, lebih-lebih lagi jika tinggal di kawasan pedalaman seperti Sungai Balang. Inisiatif pendidikan dalam talian dan bantuan seperti ini amat penting untuk anak-anak kita catch up dan mengurangkan jurang pendidikan,” tambah beliau.

Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau lebih dikenali sebagai Cikgu Farhana, turut menyatakan bahawa PTTI sentiasa mencari jalan untuk menyokong pelajar yang memerlukan, khususnya dalam subjek-subjek kritikal seperti Matematik, Fizik, dan Kimia.

“Pengalaman kami lebih 10 tahun memimpin PTTI membolehkan kami membantu lebih 800,000 pelajar, termasuk 400 pelajar yang berjaya mendapat straight A dalam SPM 2024,” katanya.

Beliau yakin dengan teknik dan formula PTTI, lebih ramai pelajar dari latar belakang mencabar akan dapat dibimbing untuk mencipta kejayaan luar biasa.

Majlis Roadtour tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran beberapa personaliti terkenal seperti MK K-Clique, Iman Troye, Zaki Yamani, Nabila Razali, Space Dollah, Asyraf Khalid dan ramai lagi yang hadir memberikan semangat kepada pelajar-pelajar yang bakal menghadapi SPM tidak lama lagi. Turut menyerikan pentas motivasi ialah Bella Astillah, yang berkongsi kisah inspirasi dan cabaran kehidupannya sebagai dorongan buat para pelajar.

Inisiatif ini sekali lagi menekankan peranan penting organisasi seperti PTTI dalam memastikan akses pendidikan berkualiti merentas sempadan geografi dan sosioekonomi, sekaligus membuka peluang lebih cerah buat anak-anak Malaysia yang kurang bernasib baik.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat