KUALA LUMPUR, – Peguam Adzly Ab Manas menganggap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk merujuk beberapa persoalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan harus dilihat dalam kerangka yang lebih luas sebagai cerminan kepada sistem kehakiman yang bebas dan berfungsi secara profesional tanpa campur tangan mana-mana pihak.
“Saya fikir keputusan Hakim Mahkamah Tinggi menolak permohonan Perdana Menteri menunjukkan bahawa sistem kehakiman kita berfungsi secara profesional dan tidak mudah dipengaruhi oleh tekanan politik seperti yang didakwa sesetengah pihak,” kata Adzly kepada Suara.TV.
Mengulas lanjut, Adzly berkata keputusan ini mengukuhkan keyakinan terhadap sistem kehakiman yang bebas dan tidak tunduk kepada pengaruh politik, malah menolak persepsi bahawa individu berkedudukan tinggi boleh mengelak daripada proses undang-undang.
“Setiap individu, tanpa mengira kedudukan, tertakluk kepada kedaulatan undang-undang. Prinsip ini merupakan asas kepada negara hukum yang menjunjung keluhuran Perlembagaan,” tegas beliau.
Sementara itu beliau turut berharap semua pihak turut mengiktiraf hak Perdana Menteri untuk membuat rayuan.
“Jika orang biasa boleh merayu, tidak wajar kita mempersoalkan hak Perdana Menteri untuk berbuat demikian. Prinsip asas sistem perundangan kita adalah keadilan untuk semua,” ujar Adzly.
Tambahnya, hak mana-mana individu untuk mengemukakan isu perundangan ke mahkamah, termasuk dalam usaha mempertahankan diri daripada dakwaan, adalah dilindungi oleh Perlembagaan dan tidak boleh dianggap sebagai penyalahgunaan kuasa.
Pagi tadi, Hakim Roz Mawar Rozain menolak permohonan tersebut atas alasan bahawa lapan persoalan yang dikemukakan tidak menimbulkan isu perlembagaan yang nyata, substantif atau boleh diadili. Permohonan itu juga tidak memenuhi kehendak Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Permohonan itu difailkan pada 23 Mei lalu bagi merujuk isu berkaitan kedudukan dan tanggungjawab jawatan Perdana Menteri, termasuk persoalan sama ada beliau menikmati kekebalan bersyarat daripada tindakan sivil ketika menjalankan tugas rasmi.
Peguam Perdana Menteri berhujah bahawa prosiding sivil yang sedang berjalan boleh mengganggu fungsi eksekutif dan melanggar prinsip pengasingan kuasa. Namun, mahkamah memutuskan bahawa isu-isu tersebut bersifat spekulatif dan tidak memerlukan pengesahan Mahkamah Persekutuan pada peringkat ini.
Saman sivil yang difailkan oleh Muhammed Yusoff Rawther dijadualkan untuk diteruskan seperti yang ditetapkan, bermula 16 Jun ini.
Mahkamah turut menolak permohonan lisan pihak defendan untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu rayuan, dan mengarahkan defendan membayar kos RM20,000 kepada pihak plaintif.-SUARA.TV