Anwar fail rayuan serta-merta isu kekebalan, mohon tangguh perbicaraan – peguam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memfailkan rayuan serta-merta, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu, yang menolak permohonan Perdana Menteri itu untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan antaranya, membabitkan isu imuniti daripada sebarang kes saman sivil.

Peguam, Datuk Seri K Raja Segaran yang mewakili Anwar, 78, selaku defendan berkata, rayuan itu dibuat berdasarkan Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (CJA).

Menurutnya, bagi memelihara integriti proses rayuan, permohonan dibuat bagi memastikan Pengerusi PH itu, tidak terdedah kepada prosiding yang mungkin akhirnya didapati tidak dibenarkan oleh Perlembagaan.

“Kami dengan penuh hormat tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan anak guam, kerana lapan soalan yang dikemukakan bukanlah bersifat abstrak atau akademik,

“Sebaliknya, ia membabitkan isu perlembagaan yang serius dan belum diselesaikan, termasuk perlindungan terhadap fungsi eksekutif, risiko litigasi yang bermotifkan politik, serta skop Perkara 5(1), 8(1), 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara ini membabitkan implikasi perlembagaan yang meluas dan memerlukan penjelasan yang muktamad oleh mahkamah tertinggi negara,” katanya ketika sidang akhbar lapor Sinar Harian.

Selain itu, beliau berkata, Presiden PKR itu juga akan memohon penangguhan prosiding perbicaraan saman sivil bekas penyelidik Anwar,Yusoff Rawther yang mendakwa telah diserang secara seksual, empat tahun lalu.

Perbicaraan itu dijadualkan bermula bulan ini iaitu pada 16 hingga 19 Jun dan 23 hingga 25 bulan sama.

Pada Rabu, Anwar gagal dalam permohonannya untuk merujuk lapan persoalan undang-undang itu selepas Hakim, Roz Mawar Rozain mendapati permohonan berkenaan tidak memenuhi peruntukan Seksyen 84 CJA 1964.

Ketika membaca keputusan tersebut, Hakim itu berkata, tiada satu pun peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang, menimbulkan sebarang persoalan undang-undang perlembagaan yang nyata, substantif atau boleh diadili, hingga memerlukan penentuan oleh Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 128(2) PP atau Seksyen 84 CJA 1964.

Pada 23 Mei lalu, Anwar memohon Mahkamah Tinggi untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan bagi diputuskan, antaranya sama ada beliau mempunyai imuniti daripada saman sivil termasuk yang difailkan Yusoff.

Menerusi permohonan yang difailkan oleh firma guamannya, Tetuan Zain Megat & Murad minggu lalu, Anwar memohon agar Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman berkenaan.

Beliau turut memohon agar mahkamah mempertimbangkan sama ada saman tersebut menjejaskan keupayaannya menjalankan tugas eksekutif serta melemahkan prinsip pengasingan kuasa yang dijamin oleh Perlembagaan.

Anwar juga mahu mahkamah menentukan sama ada prosiding saman tersebut melanggar haknya untuk dilayan sama rata di sisi undang-undang seperti diperuntukkan dalam Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan, terutamanya kerana beliau mendakwa saman tersebut merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

Yusoff memfailkan saman terhadap Anwar pada tahun 2021, mendakwa bahawa beliau telah diserang di kediaman Presiden PKR itu di Segambut pada Oktober 2018.

Beliau menuntut ganti rugi am, khas, teruk dan teladan, selain faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Saman tersebut berkaitan kejadian yang didakwa berlaku sebelum Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.

Dalam prosiding ini, Anwar tidak hadir ke mahkamah dan hanya diwakili peguam-peguamnya, Datuk Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie dan Alan Wong Teck Wei sementara peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali hadir bagi pihak Yusoff, 32.

Turut hadir ialah peguam, Haniff Khatri Abdullah hadir selaku peguam pemerhati bagi pihak Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) sementara peguam, Vivek Sukumaran untuk Badan Peguam Malaysia.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat