Serangan Di London: 6 Maut 20 Cedera

Enam orang disahkan maut manakala sekurang-kurangnya 20 lagi cedera ekoran serangan di dua lokasi di tengah England awal hari ini.

Tiga daripada yang maut itu ialah penyerang, manakala kebanyakan mangsa yang cedera adalah akibat senjata tajam dibawa individu belum dikenal pasti itu.

Setakat ini polis yakin tiada penyerang lain terlibat dalam insiden berkenaan.

Telegraph melaporkan serangan berlaku di Jambatan London dan Pasar Borough selepas sebuah van dipandu merempuh pejalan kaki di lokasi pertama.

Saksi berkata ada antara penyerang bersenjata parang itu menjeritkan: “Ini untuk Allah!” semasa menetak orang ramai.

Ketiga-tiga mereka ditembak mati kurang dari 10 minit selepas polis dimaklumkan mengenainya.

Menurut polis, mereka menerima panggilan telefon mengenai sebuah van merempuh antara lima hingga enam orang di jambatan terkenal di London itu.

Pihak berkuasa sedang mengumpul maklumat daripada saksi, dan setakat ini percaya tiga lelaki turun dari kenderaan berkenaan bersama parang sebelum mula menyerang mereka.

Penyerang terbabit kemudian menuju kawasan pasar serta memasuki pub serta restoran yang ada berhampiran.

Bagaimanapun pelanggan di situ membalas dengan melontas kaca, botol dan kerusi ke arah penyerang.

Saksi dikenali sebagai Gerard memberitahu, seorang wanita ditikam berkali-kali di situ.
Kejadian itu berlaku kurang dari dua minggu selepas konsert penyanyi AS, Ariana Grande, di Arena Manchester digegarkan dengan letupan pengebom yang menyebabkan 22 orang maut.

Difahamkan Perdana Menteri Theresa May berada di kawasannya di Maidenhead ketika dimaklumkan mengenai serangan berkenaan.

Dia dijadual mengadakan mesyuarat tergempar untuk membincangkan insiden berkenaan secepat mungkin.

Theresa mengadakan ‘mesyuarat Cobra’ – merujuk kepada pertemuan dengan menteri kanan serta pegawai keselamatan negara – baru-baru ini selepas serangan di Arena Manchester pada 23 Mei lalu.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.