PM, Isteri Berbuka Puasa Di Dataran Merdeka

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini meluangkan masa bersama lebih 4,000 warga kota berbuka puasa di Dataran Merdeka pada majlis program Iftar@KL 2017.

Najib yang duduk bersila beralaskan tikar menjamah hidangan nasi beriyani di dalam pek selain bubur lambuk dan kurma.

Pada majlis itu, beliau yang berbaju Melayu merah dan berkain pelikat turut mengagihkan bubur lambuk kepada hadirin.

Najib kemudiannya menyertai jemaah lain menunaikan solat Maghrib di padang berhampiran yang diimamkan Sheikh Mohd Idris Al-Masyrafi dari Makkah.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Iftar@KL 2017 diadakan setiap hari Sabtu dan Ahad sepanjang bulan Ramadan di Jalan Raja berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad bermula semalam hingga 18 Jun ini.

Sebanyak 16 aktiviti dilaksana dengan penyertaan kira-kira 300 sukarelawan pada Iftar@KL 2017 kali ini antaranya Tadarus al-Quran, Klinik Tahsin al-Quran, kaunter zakat, jualan melalui trak makanan, Bicara Ramadan, Pameran Pelancongan Islam dan Konsert Ramadan.

Program yang diadakan sejak 2012 anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu bukan sahaja melibatkan acara berbuka, malah turut diadakan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih selain aktiviti penyediaan bubur lambuk.

Pelancong asing juga dilihat mengambil peluang merasai pengalaman berbuka puasa di kawasan ikonik itu.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.