Najib Umum ‘Duit Raya’ Lebih RM100j Kepada Pekebun

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemberian ‘duit raya’ kepada 33,864 pekebun kecil di seluruh negara menerusi pengagihan dividen berjumlah RM106.81 juta.

Sebanyak RM38.16 juta daripada jumlah itu diagihkan kepada 16,080 perserta Rancangan Tanam Baharu Berkelompok (RTBB), manakala RM68.64 juta lagi diagihkan kepada 17,784 perserta Tanam Semula Komersial (TSK).

Najib berkata pemberian dividen itu meningkat sebanyak RM12.2 juta berbanding RM94.5 juta pada tahun sebelumnya.

“Sebagai sebuah kerajaan kita tidak pernah berhenti mencari jalan bagimana hendak menjaga kebajikan rakyat khusunya mereka yang tinggal di luar bandar termasuk pekebun kecil yang diberi perhatian dan bantuan yang sewajarnya.

“Ini kerana masyarakat pekebun dan luar bandar ini merupakan teras kepada sokongan kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian dividen Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) di Dewan Konvensyen Pekan.

Menurut Najib ,ekonomi dunia dan negara pada tahun ini berada di tahap yang lebih baik berbanding tahun lepas dan Malaysia sendiri pada suku pertama tahun ini mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi pada kadar 5.6 peratus, merupakan antara yang tertinggi di dunia.

“Harga komoditi pun sudah ada tanda pemulihan dan ini berlaku bukan sahaja disebabkan ekonomi dunia pada masa kini bertambah baik, tetapi juga disebabkan usaha yang dilakukan oleh kerajaan.

“Umpamanya semasa saya melawat negara China pada akhir tahun lalu, saya telah meminta supaya mereka menambah pembelian sawit dan baru-baru ini ketika saya melawat negara itu, pemimpin tertinggi republik itu telah memaklumkan kerana permintaan saya, mereka telah meningkatkan pembelian (sawit).

“Pembelian meningkat sebanyak 70 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas dan begitu juga semasa saya pergi ke India, saya juga telah minta mereka meningkatkan pembelian sawit,” katanya.
Katanya, hasil usaha yang dilakukan itu, katanya harga komoditi lain turut meningkat termasuk harga getah.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Najib turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 sempena Ramadan kepada lima masjid terpilih dalam kawasan Parlimen Pekan.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.