FAM Selesaikan Isu Frank Bernhardt

ISU tuntutan baki gaji membabitkan bekas ketua jurulatih skuad Bawah 22 (B-22), Frank Bernhardt dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selesai menerusi satu pertemuan tertutup di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata isu berkenaan berjaya diselesaikan selepas jurulatih kelahiran Jerman itu mengadakan pertemuan hari ini, lapor Bernama.

Beliau memaklumkan badan induk itu enggan mengulas isu berkenaan sebelum ini kerana tidak mahu mengganggu proses rundingan dan perbincangan dengan Bernhardt.

“Penyelesaian dan keputusan dibuat hari ini turut mendapat perkenan Presiden FAM Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang gembira kerana isu ini tidak perlu dipanjangkan lagi,” jelas Hamidin menerusi entri terbaharu dalam laman Facebook FAM.

FAM melantik Bernhardt menerusi kontrak dua tahun pada 2015 untuk mengendalikan skuad B-22 negara bagi menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos ini, namun ditamatkan khidmatnya selepas Tunku Ismail menang tanpa bertanding kerusi Presiden FAM pada Kongres Tahunan badan induk itu, 25 Mac lalu.

Tunku Ismail turut mengumumkan Datuk Ong Kim Swee yang sebelum ini mengendalikan skuad kebangsaan, dilantik sebagai jurulatih skuad B-22 negara manakala Nelo Vingada dari Portugal dilantik sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan yang baharu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.