Tauke Balak Cuba Rasuah Pegawai SPRM RM500,000 Ditahan Reman

IPOH – Seorang tauke balak yang dipercayai terlibat memberi rasuah RM500,000 kepada seorang pegawai kanan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Temenggor, Gerik dekat sini April lalu, ditahan reman bagi membantu siasatan.

 

Suspek berusia 36 tahun itu di­tahan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadapnya mengikut Seksyen 16(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

 

Perintah tahanan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama empat hari hingga 6 Jun ini, dikeluarkan oleh Majistret Rahimah Rahim dalam prosiding di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

 

Suspek telah ditahan di sebuah restoran makanan segera di Meru dekat sini pada kira-kira pukul 11.30 pagi, semalam.

 

Sementara itu, sumber SPRM ketika ditemui selepas prosiding memberitahu pemberita, pada asal­nya SPRM memohon supaya suspek yang diwakili peguam bela T. Shan direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kegiatan berkenaan selain untuk mengesan suspek lain yang terlibat.

 

Terdahulu, suspek yang mema­kai baju tertera ‘lokap SPRM’ berwarna oren dan berseluar jean bi­ru itu kelihatan tenang semasa dibawa ke mahkamah dengan diiringi kakitangan SPRM pada pukul 9 pagi sebelum prosiding reman dimulakan, dua jam kemudian.

 

Dua lelaki dan seorang wanita yang dipercayai ahli keluarganya yang turut berada di mahkamah.

 

Menurut sumber berkenaan, sus­pek dan syarikatnya memiliki lesen yang sah untuk menjalankan aktiviti pembalakan di kawasan hutan simpan tersebut.

 

Bagaimanapun, jelas beliau, dalam operasi yang dijalankan SPRM dan Jabatan Perhutanan di kawasan itu mendapati syarikat tersebut telah menjalankan kerja-kerja berkenaan melebihi daripada kawasan yang dihadkan kepada mereka.

 

“Justeru itu, dia (suspek) telah menawarkan RM1 juta kepada pe­gawai kanan terlibat supaya siasatan lanjut terhadap aktiviti pembalakan di sana tidak diteruskan.

 

“Untuk tujuan berkenaan, dia telah menyerahkan sebahagian wang tunai yang ditawarkan iaitu sebanyak RM500,000 kepada pegawai kanan tersebut pada 7 Ap­ril lalu. Susulan daripada itu, kita kemudiannya menahan dia semalam di Meru,” katanya.

 

Tambah sumber itu, pihaknya kini sedang melakukan siasatan lanjut berhubung status sebenar suspek berkenaan dalam syarikat pembalakan tersebut. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.