Tahaluf Siyasi PAS Dengan Pembangkang Lain Tidak Kekal – Dr Haron Din

KUALA LUMPUR – Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din menegaskan, tahaluf siyasi parti itu dengan parti-parti dalam pakatan pembangkang bukanlah bersifat kekal selama-lamanya.

 

Sebaliknya, tegas beliau, hubungan itu boleh dikaji semula jika ia didapati melanggar syarat-syarat yang ditetapkan oleh Majlis Syura Ulama.

 

“Tahaluf ini (hukumnya) ka­dang-kadang harus, kadang-kadang tak harus, kadang-kadang harus sekejab dan kadang-kadang tidak diharuskan langsung.

 

“Maknanya perubahan itu bergantung kepada keadaan yang berlaku dan tahaluf tidak boleh dihalalkan secara mutlak,’’ katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulama Kali Ke-52, di sini, hari ini.

 

Ucapan Haron dilihat merujuk desakan pelbagai pihak dalam Pas mahu kerjasama politik atau tahaluf siyasi dengan DAP dikaji semula berikutan sikap biadab parti tersebut terhadap Abdul Hadi.

 

Haron berkata, dalam apa keadaan sekalipun, ahli-ahli Pas perlu berpegang kepada enam garis panduan yang ditetapkan oleh Majlis Syura berhubung tahaluf siyasi.

 

“Perkara keenam dalam garis panduan itu paling penting iaitu Majlis Syura mempunyai kuasa untuk membuat keputusan mengenai kesinambungan tahaluf siyasi berdasarkan kepada perkembangan dari semasa ke semasa. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.