Rakyat Sarawak Sambut PM Dengan Laungan “Hidup Najib”

KUCHING – Lebih 12,000 penyokong Barisan Nasional (BN) berhimpun di Stadium Perpaduan di sini pagi ini bagi memeriahkan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat #sarawakfornajib, sebagai menzahirkan tanda sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Ketibaan Najib bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor yang diiringi oleh Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem pada kira-kira pukul 10.30 pagi ini disambut dengan sorakan gemuruh oleh hadirin, dengan laungan “Hidup Najib” bergema di dalam stadium menyambut ketibaan pemimpin nombor satu negara itu.

 

Selain kontinjen parti-parti komponen BN padat berbaris di ruang tengah stadium, turut serta ialah kontinjen daripada parti mesra BN iaitu Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP), lengkap mengibarkan bendera masing-masing yang berwarna warni.

 

Persekitaran Stadium Perpaduan pula sudah dimeriahkan dengan pelbagai persembahan seawal pukul 8 pagi dengan pelbagai acara sampingan termasuk persembahan pentas diadakan bagi menghiburkan pengunjung.

 

Ribuan bendera BN berlambang dacing menghiasi persekitaran serta jalan-jalan utama yang menghala Stadium bagi menceriakan suasana yang muncul bagaikan perayaan sambutan “Pesta BN”.

 

Perdana Menteri dan isteri yang tiba di Kuching semalam, menghadiri Majlis Makan Malam Sempena sambutan Hari Gawai di Dewan DBNA malam tadi, dan dijadual berlepas pulang selepas majlis pagi ini. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.