Pro Hadi Kuasai Kepimpinan Pemuda PAS

SHAH ALAM – Keputusan rasmi pemilihan Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS untuk sesi 2015-2017 menyaksikan anak dua tokoh pemimpin PAS dari kumpulan pro Presiden berjaya menguasai jawatan tertinggi sayap parti itu semalam.

 

Jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang sebelum ini disandang Suhaizan Kaiat dari kumpulan Anwarinas berjaya dirampas oleh Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz manakala Muhammad Khalil Abdul Hadi pula mengekalkan jawatan tim­ba­lan­nya.

 

Nik Abduh anak kepada bekas Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memperolehi 429 undi sementara penyandangnya, Suhaizan Kaiat sekadar mendapat 262 undi.

 

Muhammad Khalil, anak kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mempertahankan jawatan Timbalan Ketua Pemuda selesa dengan 435 mengalahkan pencabar tradisi Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob yang mendapat 257 undi.

 

Bagi jawatan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS penyandang sebelumnya, Khairil Nizam Khirudin mempertahankan kedudukan setelah mendapat 458 undi.

 

Keputusan rasmi itu diumumkan kira-kira jam 6.15 petang semalam oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Dewan Pas Pusat, Dr. Zulkarnain Lukman di Dewan Jubli Perak, Kompleks Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini.

 

Seramai 738 perwakilan Dewan Pemuda PAS terlibat dalam pengundian untuk memilih jawatankuasa tersebut.

 

Dengan penguasaan semula sayap pemuda oleh kumpulan pro Hadi, ia dipercayai akan disusuli dengan gerakan besar-besaran menyingkirkan kumpulan Anwarinas dalam pemilihan di peringkat jawatankuasa pusat parti itu yang dijadualkan berlangsung hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.