Perwakilan PAS Setuju ‘100,000 Peratus’ Kaji Semula Tahaluf Siyasi Dengan DAP, PKR

KUALA LUMPUR – Seorang anggota perwakilan di Muktamar Dewan Ulama PAS hari ini menegaskan bahawa beliau bersetuju ‘100,000 peratus’ supaya ‘tahaluf siyasi’ (kerjasama politik) parti itu dalam Pakatan Rakyat dikaji semula.

 

Anggota perwakilan dari Pulau Pinang, Mohd Hanif Harun berkata ini kerana PAS kini, terutama di negerinya, dilihat seperti tersisih oleh kepimpinan rakan sekutunya dalam Pakatan Rakyat.

 

“Pulau Pinang ada pengalaman sendiri yang boleh dikongsikan bahawa seolah-olah tahaluf siyasi memang perlu dikaji…bahawa perlu adanya penilaian semula terhadap apa yang dilaksanakan sebelum ini,” katanya ketika membahaskan ucaptama Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Dr Mahfodz Mohamed pada muktamar itu, di sini Rabu.

 

Katanya syarat utama tahaluf siyasi yang dipersetujui bersama sebelum ini ialah mesti dilaksanakan dalam keadaan yang tidak mengabaikan dan tidak menggadaikan prinsip yang telah dibawa oleh PAS.

 

Katanya, jika pimpinan Pakatan Rakyat ikhlas dalam mengharmonikan tahaluf siyasi, maka mereka juga perlu menghormati prinsip-prinsip yang dibawa oleh setiap parti dalam Pakatan Rakyat.

 

Namun, Mohd Hanif berkata, kepincangan kerjasama politik itu jelas dilihat apabila terdapat dalam kalangan mereka mempersoalkan perjuangan PAS terutama berkenaan cadangan pelaksanaaan hudud di Kelantan.

 

Beliau menambah kata terdapat juga anggota PAS sendiri yang sudah tidak wala’ (taat) kepada kepimpinan dan mempertikaikan perjuangan parti selain memberikan kesetiaan mereka kepada pemimpin parti lain.

 

Sementara itu, anggota perwakilan Sabah Mohamad Soib yang turut mengambil bahagian dalam perbahasan itu berkata PAS kini berjuang bersendirian dalam meneruskan perjuangan di negeri itu setelah ditolak oleh DAP dan PKR.

 

“Di Sabah, kami telah ditolak oleh DAP dan PKR, tiada lagi Pakatan Rakyat di Sabah, yang tinggal adalah PAS dan bersama Dewan Ulama yang akan meneruskan usaha-usaha serta menyokong untuk memberi kemenangan kepada Islam di negara ini,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.