Perwakilan Akan Tentukan Usul Putus Dengan DAP, Kata Hadi Awang

KUALA SELANGOR – Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini enggan menyatakan sama ada beliau bersetuju dengan usul Dewan Ulama untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

 

Beliau bagaimanapun berkata menyerahkan kepada perwakilan dalam muktamar, badan tertinggi pembuat keputusan dalam PAS, untuk memutuskannya.

 

“Itu belum lagi satu keputusan muktamar. (PAS) Pusat belum lagi memilih siapa-siapa. Hanya usul sahaja belum lagi dibahas.

 

“Itu demokrasi dalam PAS.

 

“Saya serah kepada perwakilan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS ke-61 di Kuala Selangor hari ini.

 

Semalam, Dewan Ulama meluluskan usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP. Bagaimanapun, usul tersebut akan mula dibahaskan esok.

 

Sementara itu, mengulas ketidakhadiran wakil DAP pada perasmian muktamar hari ini, Hadi berkata perkara itu perlu ditanya kepada parti tersebut memandangkan pihaknya telah menjemput mereka.

 

Ditanya mengenai saranan Dewan Muslimat supaya Hadi dan pemimpin DAP Lim Kit Siang mengetepikan ego masing-masing dan berbincang bagi menjernihkan hubungan dalam Pakatan, beliau hanya berkata:

 

“Hal peribadi perlu selesai secara peribadi.

 

“Sikap DAP (yang tidak hadir) terpulang kepada DAP. Kena tanya DAP, jangan tanya saya.

 

“Kita jemput semua hadir untuk muktamar kita untuk memeriahkan muktamar. (Wakil) daripada PKR datang, perwakilan asing datang,” kata Hadi lagi. – Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.