Operasi Kesan ‘Pesawat Terhempas’ Di Kelantan Dihentikan

GUA MUSANG – Operasi mencari pesawat yang dikatakan terhempas di kawasan hutan Rantau Manis, dekat sini malam tadi, dihentikan awal pagi ini selepas pasukan penyelamat gagal menemukan sebarang objek sebagaimana didakwa.

 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Ahmad Nordin Ibrahim berkata, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan pesawat C130 miliknya terbang rendah di kawasan berkenaan, namun tiada kejadian tidak diingini dilaporkan.

 

“Selepas pengesahan tersebut diterima, operasi dihentikan pada pukul 2.52 pagi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

 

Malam tadi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menerima panggilan orang awam yang mendakwa melihat letupan di udara dipercayai berasal daripada sebuah pesawat di kawasan hutan Rantau Manis.

 

Panggilan tersebut diterima oleh Pusat Kawalan Kecemasan (MERS) kira-kira pukul 8.36 malam sebelum pasukan penyelamat terdiri daripada bomba, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta penduduk kampung dibentuk.

 

Walau bagaimanapun, pasukan penyelamat gagal menemui sebarang petunjuk seperti yang didakwa.

 

Tengah malam tadi, polis negeri ini mengesahkan tiada pesawat terhempas di sekitar kawasan ini seperti mana yang didakwa oleh penduduk setempat. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.