Keputusan Pemilihan Sayap PAS Isyarat Untuk Hadi Kekal Presiden, Kata Nik Abduh

KUALA SELANGOR – Keputusan pemilihan tiga sayap PAS semalam memberi isyarat jelas mahukan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terus kekal menerajui parti.

 

Demikian menurut Ketua Dewan Pemuda PAS yang baharu, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, sambil berharap nada sama akan didengar menerusi muktamar penuh yang bermula hari ini.

 

“Kalau kita perhatikan dalam tiga mesyuarat dewan semalam memberi satu dedikasi untuk tuan guru presiden terus memimpin PAS.

 

“Dengan isu-isu yang berlaku dalam PAS dan pakatan, nampak sekata dalam ucapan perwakilan (semalam) dan keputusan pemilihan menunjukkan dewan memberi komitmen tinggi bersama dengan tuan guru Abdul Hadi,” katanya.

 

Ditanya sama ada keyakinan Abdul Hadi untuk terus menerajui parti pada pemiihan kali ini semakin jelas, Nik Abduh berkata ia terpulang kepada pemilihan perwakilan.

 

“Dalam dewan (ketiga sayap PAS) itu sudah jelas…kalau nak jelas lagi tunggu pemilihan,” katany ketika ditemui hari ini.

 

Pada pemilihan kali ini, Abdul Hadi akan ditentang Datuk Ahmad Awang, pemimpin veteran yang dikaitkan dengan gerakan sebuah NGO yang mendapat kritikan ramai pimpinan PAS, iaitu PASMA.

 

Dalam pemilihan sayap semalam, Nik Abduh yang dikaitkan dengan kumpulan pro-ulama berjaya menewaskan pencabarnya yang juga penyandang, Suhaizan Kaiat dengan majoriti lebih 100 undi.

 

Sementara Dewan Muslimat pula menyaksikan pencabar, Nuridah Mohd Salleh menewaskan penyandang, Siti Zailah Mohd Yusof dengan majoriti 30 undi. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.