DAP Abai Pengundi Melayu, Cuba Kuasai PR, Kata Pemimpin PAS

Strategi DAP mengabaikan undi Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu menjadi punca Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertindak balas terhadap parti itu, kata Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

 

Pengarah operasi Pusat Penyelidikan PAS itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, pengabaian segmen pengundi Melayu boleh membangkitkan sentimen perkauman yang boleh menjurus kepada pertelingkahan kaum di Malaysia.

 

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung kejayaan kumpulan pro ulama dalam parti Islam pimpinan Hadi menang semua jawatan dalam kepimpinan Pemuda, Ulama dan Wanita PAS menerusi pemilihan semalam.

 

“Dengan memalapkan pengaruh undi Melayu, DAP dipercayai cuba mendominasi Pakatan Rakyat (PR) secara tidak disedari,” katanya yang juga pensyarah di Universiti Malaya.

 

Zuhdi sebelum ini pernah memberikan pandangan berhubung PAS dan Umno perlu bekerjasama untuk memperkuatkan kuasa Melayu di negara ini dan pendapat itu diketahui umum apabila mesej aplikasi Whatsappnya terbocor.

 

Dalam tulisan bertajuk ‘DAP mahu PR abaikan undi Melayu’ itu, Zuhdi berkata strategi politik DAP menjelang PRU13 dilihat menjurus kepada pengabaian pengaruh undi Melayu.

 

Katanya, keadaan semakin terserlah akhir-akhir ini dengan serangan berterusan terhadap hukum Islam dan PAS sendiri.

 

Beliau berkata, strategi DAP dalam PR amat rapuh terhadap kestabilan politik Malaysia seperti yang terbukti dengan keruntuhan kerajaan PR di Perak pada 2009.

 

“Pendirian seperti ini menjadi punca sebenar keretakan PR, kerana strategi DAP sudah pasti tidak mendapat laluan oleh PAS yang dipimpin Hadi,” katanya.

 

Zuhdi berkata, DAP menyerang Hadi kerana beliau dilihat sebagai penghalang utama.

 

Selain itu, katanya, DAP mahu Hadi ditumbangkan dalam muktamar PAS yang sedang berlangsung, sekali gus menaikkan barisan kepimpinan baru yang boleh mengiakan strategi tersebut.

 

Katanya, DAP Sarawak dan Sabah pula diberi ‘restu’ untuk memainkan sentimen keagamaan, seterusnya memutuskan hubungan dengan PAS.

 

Zuhdi berkata, dalam konteks politik Malaysia, 3 segmen pengundi menjadi penentu kepada kejayaan gabungan parti politik, iaitu pengundi Melayu, bukan Melayu (Cina dan India) dan peribumi Sabah dan Sarawak bukan Islam.

 

Berdasarkan kedudukan semasa, segmen pengundi Melayu paling dominan iaitu 111 kerusi Parlimen, manakala kerusi yang boleh dimenangi bukan Melayu ialah 96 kerusi dengan mengambil kira 34 kerusi pengundi bukan Melayu lebih 50% dan 55 kerusi pengundi bukan Melayu antara 30% hingga 50%.

 

Selebihnya 22 kerusi mewakili Bumiputera bukan Islam Sabah dan Sarawak, katanya.

 

Katanya, dengan memperoleh sokongan besar segmen pengundi Melayu, sesebuah gabungan parti politik boleh menguasai Putrajaya dengan majoriti tipis.

 

Gabungan antara segmen pengundi Melayu dan Bumiputera bukan Islam Sabah dan Sarawak pula memungkinkan sesebuah gabungan memperoleh majoriti dua pertiga Parlimen.

 

“Perkara inilah yang diusahakan Barisan Nasional (BN) dalam PRU13,” katanya. – M.Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.