Ada Pihak Cuba Laga Kata Saya Letak Jawatan – Hishamuddin

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menafikan beliau akan melepaskan jawatannya dalam kabinet seperti yang dilaporkan sebuah portal berita.

 

Dalam respons kepada soalan pengikut Twitter beliau @Nessie43: “adakah Datuk Seri akan keluar (daripada kabinet)? Apakah yang akan mereka lakukan tanpa Datuk Seri”, Hishammuddin menjawab: “Tidak. saya tidak akan (keluar). Putar belit oleh pihak tidak bertanggungjawab.”

 

Laporan portal berita portal berita yang meramalkan Hishammuddin berkemungkinan melepaskan jawatan beliau dalam kabinet, dipetik oleh akhbar harian berbahasa Inggeris, hari ini.

 

Selain Hishammuddin, laporan itu turut meramalkan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mungkin turut meletak jawatannya dalam kabinet.

 

NST hari ini melaporkan perkara itu timbul berikutan kata dua yang diberi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu IMalaysia Development Berhad (1MDB).

 

Laporan menyebut Hishammuddin tidak hadir dalam mesyuarat mingguan kabinet pada Jumaat lepas ketika Najib dilaporkan memberi kata dua kepada jemaah menteri, meminta mereka melepaskan jawatan sekiranya mereka tidak menyokong beliau berhubung isu 1MDB.

 

Dalam tweet pada Isnin lepas, Hishammuddin berkata, beliau akan menyokong kata dua itu asalkan ia memenuhi tiga syarat, yang mengetengahkan pentingnya kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam menyelesaikan hutang syarikat itu yang berjumlah RM42 bilion.

 

Menteri pertahanan dalam mesej Twitter pada Isnin, menyatakan: “Setuju, dengan syarat: 1) rasionalisasi 1MDB, 2) kebertanggungjawaban jika ada kesalahan, dan 3) ketelusan (dalam syarat 1 dan 2).”

 

Sementara itu, dalam sidang media petang ini, Hishammuddin menyelar tindakan sesetengah pihak yang memutar belit kenyataan dan mendakwa beliau akan meletak jawatan kerana tidak berpuas hati dengan isu 1MDB.

 

Mengulangi pendiriannya untuk tidak meletak jawatan dalam Kabinet, Hishammuddin berkata pihak terbabit cuba melaga-lagakan Jemaah Menteri berkaitan isu tersebut namun tidak akan berjaya sama sekali.

 

“Tidak timbul isu letak jawatan. Ada pihak cuba lagakan. Saya percaya ia tidak akan berjaya.

 

“Isu (1MDB) sudah dibincang di peringkat Kabinet. Jadi desas-desus lagakan kami satu perkara yang tidak masuk akal. Ia ‘negative spin’ untuk tidak mahu kita bergerak sebagai satu pasukan,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.