Ibu Sindir Nik Omar Kerana Tidak Lagi Bersama PAS

KUALA LUMPUR — Ibu Nik Omar Nik Aziz memerli calon Pakatan Harapan itu yang dianggapnya “ponteng” setelah tidak lagi bersama PAS.

Tuan Sabariah Tuan Ishak, balu menteri besar Kelantan, mengakui beliau kini berdepan dugaan kuat daripada Allah, lapor Harian Metro.

“Baru-baru ini, orang ramai kata keluarga saya berpecah. Apapun, saya mempunyai 10 anak, namun hanya seorang saja yang ‘ponteng’,” katanya.

Dalam ucapannya ketika berkempen di kerusi Chempaka yang ditandingi anaknya itu, isteri Datuk Nik Aziz Nik Mat dilaporkan menangis.

Ucapannya semalam disiar secara langsung di Facebook Dewan Muslimat PAS Pengkalan Chepa. Kerusi Chempaka terletak di kawasan parlimen ini.

Berbaju kurung dan tudung serba biru, Tuan Sabariah berkata arwah suaminya berpesan agar kekal PAS dan tidak beralih walau dipujuk.

“Pilihan raya bakal tiba tidak lama lagi, saya rasa biarlah kita kekal dengan apa yang Allahyarham tok guru tinggal selama ini,” katanya.

“Sekarang, memang ramai mengaku parti Islam untuk tarik undi.”

Kerusi tradisi arwah Nik Aziz, Chempaka dikuasai PAS dengan majoriti 10,092 undi dalam pilihan raya kecil selepas kematiannya pada 2015.

Nik Omar bertanding atas tiket PKR mencabar penyandangnya Ahmad Fathan Mahmood (PAS) dan juga Mohamad Fareez Noor Amran (Barisan Nasional). – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.