GST Dirancang Sejak Dari Zaman Tun Daim Jadi Menteri Kewangan

JELI – Cadangan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebenarnya telah dibangkitkan semasa Tun Daim Zainuddin menjadi menteri kewangan namun kerajaan ketika itu tiada keberanian untuk melaksanakannya, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata Daim turut terlibat dalam kajian mengenai pelaksanaan cukai tersebut berikutan pendapatan negara yang kecil ketika itu.

“Kerajaan pada waktu itu sudah nembuat keputusan untuk laksanakan GST, cuma tidak ada keberanian dan hanya Datuk Seri Najib Tun Razak yang berani melaksanakannya,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pasar Tani Air Lanas di sini, hari ini.

Mustapa yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Jeli dan juga Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Lanas, berkata pelaksanaan GST banyak manfaat kerana ia menjadikan sistem percukaian lebih telus dan adil serta boleh mengesan syarikat besar yang tidak membayar cukai.

“Kadar enam peratus yang dikenakan kerajaan juga merupakan antara yang terendah berbanding negara lain dan ianya memberi manfaat kepada negara untuk jangka masa panjang walaupun wujud tekanan sepanjang tiga tahun dilaksanakan.

“Saya yakin rakyat akan terima GST ini kerana kerajaan perlu cari sumber kewangan untuk menyediakan kemudahan kepada rakyat. Sebagai kerajaan moden kita buat untuk jangka panjang, jadi saya berharap pakatan pembangkang jangan politikkan isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai membidas kenyataan bekas menteri kewangan itu yang memberi gambaran negatif tentang pelaksanaan GST sejak 1 April 2015.

Sementara itu, Mustapa berkata kewujudan pasar tani banyak memberi manfaat kepada masyarakat terutamanya di kawasan luar bandar.

“Masyarakat dapat beli barang dengan harga berpatutan khususnya barang keperluan seperti makanan serta sayur-sayuran dan jualannya juga mencecah ratusan ribu ringgit sebulan.

“Harga yang ditawarkan berpatutan kerana peniaga memperoleh bekalan mereka daripada petani di sekitar daerah ini, sekali gus kenaikan harga dapat dikawal dan menstabilkan tekanan kos sara hidup,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.