Harimau Malaya Turun Satu Anak Tangga

KUALA LUMPUR – Skuad Harimau Malaya mengalami kejatuhan satu anak tangga dalam ranking terbaharu yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hari ini dengan berada pada kedudukan ke-158.

Kedudukan itu meletakkan Malaysia berada di tangga keempat dalam kalangan 11 negara Asia Tenggara di belakang Filipina (127), Thailand (129) dan Vietnam, yang berkedudukan 136 dunia, lapor Utusan.

Singapura menjadi pasukan kelima terbaik di rantau Asia Tenggara apabila menduduki tangga ke-160, diikuti Myanmar ke-166 serta Kemboja ke-175. Laos pula berada di tempat ke-176 dan Indonesia ke-177.

Sementara itu, Brazil, pasukan pertama yang berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 mengekalkan kedudukan No. 1 dunia dalam ranking yang tidak menunjukkan sebarang perubahan dalam kalangan 20 pasukan terbaik.

Tiada perlawanan persahabatan atau kompetitif melibatkan pasukan utama dari Amerika Selatan dan Eropah diadakan pada April, namun Brazil masih berjaya mengekalkan kedudukannya mengatasi pasukan tangga kedua, Argetina.

Juara dunia, Jerman berada di tangga ketiga, manakala penyandang juara Copa America dua kali, Chile serta Colombia melengkapkan kedudukan lima terbaik.

Tuan rumah Piala Dunia 2018, Rusia pula kekal di tangga ke-61 dunia selepas hanya beraksi dalam beberapa perlawanan persahabatan pada ketika pesaing mereka mengharungi aksi lebih berkualiti dalam saingan kelayakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.