Ejen FBI Jatuh Cinta, Kahwini Militan Daesh

WASHINGTON – Seorang penterjemah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) yang diberi tugas menyiasat seorang anggota militan Daesh akhirnya jatuh cinta dan berkahwin dengan lelaki berkenaan, lapor portal berita Aol semalam.

Menurut Agensi, laporan saluran berita CNN pada minggu ini pula mendedahkan bahawa penterjemah itu, Daniela Greene jatuh cinta dengan militan Daesh, Denis Cuspert.

Wanita itu turut meninggalkan suaminya yang merupakan seorang askar untuk berkahwin dengan Cuspert pada tahun 2014.

Cuspert merupakan seorang bekas penyanyi rap dikenali sebagai ‘Deso Dogg’ sebelum dia menyertai Daesh. Lelaki itu muncul dalam beberapa rakaman video yang menunjukkan dia memegang kepala manusia dan melaungkan slogan Daesh.

Cuspert turut digelar ‘Bintang Pop Jihad’. Dia dikenali di Syria dengan nama Abu Talha al-Almani.

Greene pula dilahirkan di Czechoslovakia dan dibesarkan di Jerman sebelum berkenalan dan berkahwin dengan askar Amerika Syarikat (AS) berkenaan. Wanita itu turut belajar di universiti AS.

Greene yang bekerja sebagai penterjemah bahasa Jerman ditugaskan untuk menyiasat Cuspert.

Namun, dalam masa enam bulan, dia jatuh cinta dan melarikan diri ke Syria untuk menemui lelaki itu.

Greene memberitahu FBI bahawa dia melawat keluarganya, namun wanita itu berlepas ke Turki sebelum melakukan perjalanan ke sempadan Syria untuk menemui Cuspert.

Mereka kemudiannya bertemu dan berkahwin tetapi tidak lama selepas tiba di kawasan perang berkenaan, Greene sedar bahawa dia tersilap langkah.

“Saya lemah dan tidak tahu bagaimana untuk menangani sesuatu perkara lagi. Saya melakukan kesilapan besar kali ini,” kata Greene kepada seorang rakannya dalam satu e-mel, lapor Kosmo.

Dia kemudian melarikan diri ke AS dan ditangkap. Greene dijatuhi hukuman ringan iaitu penjara dua tahun kerana bersetuju untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa AS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.