Dua Warga Turki Ditahan Polis Disyaki Terlibat Militan IS – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan 2 warga Turki yang ditahan beberapa hari lalu kerana disyaki terlibat dengan militan IS.

Zahid berkata, penahanan dibuat selepas Bahagian Anti Keganasan Cawangan Khas PDRM mengikuti pergerakan sejumlah individu yang disyaki terlibat dengan gerakan itu.

“Kita mengikuti pergerakan beberapa individu yang terlibat dalam penyebaran, mempengaruhi serta memberikan dana kepada aktiviti berkaitan IS, termasuk 2 warga Turki ini.

“Pusat Komunikasi Pintasan Mesej (counter messaging centre) yang telah kita operasikan sekian lama juga ada dapatan berkenaan komunikasi yang mereka lakukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menutup Seminar Antarabangsa Wasatiyyah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Beliau berkata 2 individu itu ditahan di bawah Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), dan akan dibawa ke panel bagi menentukan sama ada akan turut disiasat di bawah Akta Undang-Undang Pencegahan Keganasan 2015 (Pota) dan Akta Pencegahan Jenayah 2013 (Poca).

2 warga Turki itu, Turgay Karaman dan Ihsan Aslan, menetap di sini dan masing-masing ditahan 2 Mei lalu.

Pada mulanya, ia dikaitkan dengan penahanan 2 lagi warga Turki di sini Oktober lalu yang diekstradisi ke Turki, kerana didakwa terlibat dengan pergerakan Gullen yang diharamkan di negara itu.

Namun Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi Twitter berkata mereka ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan yang “mengancam keselamatan Malaysia”, dan disiasat di bawah seksyen 130 Kanun Keseksaan.

Pada mulanya, isteri mereka Ainnurul Aisyah Yunos Ali Maricar (isteri Ihsan) dan Ayse Gul Karaman (isteri Turgay) membuat laporan polis kerana mengesyaki kedua-duanya diculik.

Kedua-dunya menafikan suami mereka terlibat dengan mana-mana kegiatan yang salah. Ihsan menetap di sini selama 15 tahun dan menjalankan pernigaan tudung, manakala Turgay adalah pengetua di Time International School di Ipoh, Perak.

Zahid memahami kerisauan pihak keluarga dan memberi jaminan tidak akan menzalimi mana-mana pihak.

“Jika mereka benar tak terlibat atau tahap penglibatan mereka minimum, maka kita jamin kepada keluarga yang mereka akan dibebaskan.

“Tetapi kita harus menghormati maklumat yang diperolehi polis. Tetapi jika ada bukti yang kukuh untuk penahanan, maka kita akan mengambil tindakan mengikut undang-undang,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pihak berkuasa akan bekerjasama dengan unit risikan pihak berkuasa Turki.

Beliau juga berkata setakat ini masih belum ada keperluan untuk membincangkan soal ekstradisi dan bantuan perundangan bersama (MLA) dengan Turki. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.