Warga Bangladesh Cedera Parah, Bergaduh Rebut Bilik Air

Nibong Tebal – Seorang pekerja Bangladesh cedera parah manakala lima lagi cedera ringan dalam satu pergaduhan di sebuah rumah kongsi di tapak projek berhampiran Taman Villa Tasek Mutiara di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supt Shafien Mamat, berkata pergaduhan dipercayai bermula akibat perebutan bilik air kira-kira jam 7.40 malam.

“Seorang daripada mereka dikatakan telah berebut bilik air dan mengotorkannya dengan memakai but keselamatan bekerja yang berlumpur.

“Berikutan itu rakannya yang tidak berpuas hati telah memarahinya sebelum berlaku pertengkaran dan pergaduhan antara mereka dengan menggunakan sebilah pisau,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, empat rakan yang lain cuba meleraikan pergaduhan itu bagaimanapun mereka turut tercedera sehingga terpaksa dihantar ke Hospital Bukit Mertajam.

Shafien berkata, pihak polis menahan enam lelaki Bangladesh berusia antara 28 hingga 31 tahun bagi membantu siasatan.

Katanya, polis turut merampas sebilah pisau pemotong sayur yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Semua yang ditahan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.