Video : Pemilihan PKR, Pengudian Di Cabang Sungai Petani Kecoh

Sungai Petani – Proses pengundian bagi pemilihan pemimpin Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sungai Petani pada Sabtu kecoh sehingga memaksa pemilihan Cabang itu ditangguhkan.

Ia ekoran nama seorang calon bagi jawatan Ketua AMK Cabang Sungai Petani, S. Arvind Kumar tiada dalam kertas undi.

Keadaan semakin kecoh apabila pesaingnya untuk jawatan itu, Simon Ooi diumumkan menang tanpa bertanding.

Kekeliruan itu menyaksikan penyokong Arvind mengadakan protes dan mencetuskan suasana tegang di pusat pengundian di Dewan Orang Ramai, Taman Sri Wang.

Arvind berkata, dia dan para penyokongnya tidak berpuas hati apabila dikatakan tidak layak bertanding.

“Kalau tengok di dalam laman web PKR nama saya masih ada sebagai calon bagi Ketua AMK Cabang Sungai Petani iaitu calon nombor dua dan tiba-tiba pagi ini saya dikatakan tidak layak bertanding pula.

“Saya tidak menerima surat daripada PKR Pusat mengenai perkara ini dan saya rasa ini sangat tidak adil untuk saya dan para penyokong,” katanya ketika ditemui di Dewan Orang Ramai Taman Sri Wang di sini hari ini.

Menurut Arvin, dia telah menghantar pencalonan serta mengemaskini nama penyokong dan pencadangnya kepada JPP pada 11 April lalu.

“Saya tidak tahu apa sebab yang membuatkan saya dikatakan tidak layak untuk bertanding jawatan ini.

“Ini merupakan kali pertama saya bertanding jawatan Ketua AMK Cabang Sungai Petani dan saya bertanding jawatan ini atas desakan rakan-rakan yang mahu melihat perubahan dalam Cabang PKR Sungai Petani,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pengawas Pemilih Sungai Petani, Hamsah Djabir berkata, bantahan yang disuarakan oleh para penyokong Arvind telah dilaporkan kepada pihak JPP, pada Sabtu.

“Pihak JPP memutuskan bahawa proses pengundian untuk jawatan tersebut ditangguhkan hari ini berikutan terdapat masalah teknikal dan pihak JPP akan mengumumkan satu tarikh baharu bagi mengadakan semula pengundian ini.

“Proses pengundian untuk jawatan-jawatan lain diteruskan seperti biasa kerana tiada masalah yang berbangkit,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.