Teks Penuh Ucapan Sultan Brunei, Mengenai Perlaksanaan Hudud

Bandar Sri Begawan – Pada 22 Oktober 2013 lalu, beta telah mengumumkan pewartaan perintah kanun hukuman jenayah syariah 2013 maka pada hari ini setelah berlangsung enam bulan beta dengan bertawakal kepada Allah SWT serta bersyukur mengisytiharkan bahawa esok hari Khamis 1 Rejab 1435H bersamaan 1 Mei 2014 adalah tarikh mulanya berkuat kuasa perintah kanun hukuman jenayah syariah 2013 fasa pertama, yang kemudian diikuti dengan fasa selanjutnya.

Tidak berbangkit sama sekali kita menangguhkan sebagaimana yang dinukilkan oleh media. Kita perlu memahami ungkapan enam bulan selepas akta digazetkan di mana sehingga ke hari ini pun ia masih lagi di dalam lingkungan enam bulan tersebut.

Alhamdulilah dengan ini kita mengulangi sejarah perundangan Islam yang pernah diamalkan beberapa kurun terdahulu di negara ini.

Semua itu adalah berkat keazaman kita untuk menolong agama Allah di bumi bertuah ini, Allah telah berjanji untuk menolong kita jika kita menolong agamanya.

Ini pasti berlaku sebagaimana firmannya dalam surah Muhammad Ayat 7 tafsirnya; “Wahai orang-orang beriman jika sekiranya kamu menolong agama Allah nescaya Allah akan menolong dan membela kamu untuk mencapai kemenangan serta menetapkan pendirian kamu dalam membela kebenaran.”

Dengan mengembalikan segala pujian kepada Allah maka kewajipan beta dan kewajipan kita semua dihadapan-Nya dalam perkara perundangan sudah pun kita sempurnakan. Tinggal sahaja lagi peranan masing-masing terutama agensi-agensi berkaitan hendaklah melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab, amanah dan berhemah.

Ingatlah fokus kita hanyalah kepada Allah jua, untuk mencari redhanya jua semata-mata bukan melihat ke kiri dan ke kanan untuk mencari-cari siapa yang suka atau tidak.

Kita tidak pernah melihat orang lain dengan kaca mata yang buruk kerana itu adalah hak dan pilihan mereka. Kita juga tidak mengharapkan mereka menerima dan mempersetujui kita tetapi memadailah jika mereka menghormati kita sahaja sebagaimana kita juga menghormati mereka.

Adapun andaian-andaian berupa pelbagai teori adalah perkara lumrah yang tidak pernah berkesudahan, kita tidak boleh berpegang dengan teori yang statusnya tidak lebih daripada teori berbanding dengan apa yang kita pilih adalah tuntutan agama.

Sesungguhnya tuntutan Allah itu bukanlah teori tetapi hukum wajib yang tidak ada keraguan padanya.

Kalau teori mengatakan undang-undang Allah kejam dan tidak adil tetapi Allah sendiri telah menegaskan undang-undangnya itu adil maka di manakah harga teori itu di sini berhadapan dengan wahyu Allah.

Dengan ikhlas kita tegaskan bahawa keputusan untuk melaksanakan perintah kanun hukuman jenayah syariah 2013 ini bukanlah untuk suka-suka tetapi adalah atas dasar mematuhi perintah Allah yang termaktub di dalam al-Quran dan al-hadis. Beta amatlah bangga dan sukacita atas pendirian rakyat dan penduduk negara ini yang telah menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi termasuk daripada kalangan mereka yang bukan beragama Islam.

Lebih-lebih lagi sokongan padu turut diambil oleh ahli-ahli majlis mesyuarat negara di dalam sidangnya yang berlangsung baru-baru ini. – Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.