Remaja Lelaki Direman, Bantu Siasatan Kes Bunuh Rakan

Nibong Tebal – Polis menahan seorang remaja lelaki bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat rakannya di Sungai Kerian di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daearah Seberang Perai Selatan, Superitendan Shafien Mamat berkata remaja lelaki berusia 18 tahun itu ditahan di rumahnya di Nibong Tebal di sini pada 11 malam tadi.

“Lepasan sekolah itu ditahan bagi membantu siasatan polis dan kita percaya dapat memperoleh beberapa petunjuk berhubung kes berkenaan.
“Dia direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan mayat A Samuel, 18, ditemui di sungai itu selepas ibunya membuat laporan polis selepas beliau tidak pulang ke rumahnya sejak Selasa lalu.

Hasil laporan bedah siasat, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai bunuh kerana mayatnya Samuel dipercayai dibelasah hingga mati di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di sungai berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Shafien berkata mayat seorang lelaki yang lengkap berpakaian ditemui tersangkut di pokok Nipah di Sungai Kerian kira-kira 12.40 petang ini.
“Seorang nelayan menghubungi polis dan memaklumkan menemui mayat tersangkut di pokok Nipah dalam keadaan tertiarap.

“Sepasukan anggota kita dihantar ke tempat kejadian dan mendapati mayat lelaki memakai seluar dan kemeja-t berwarna gelap berada di kawasan tebing sungai berkenaan. Berdasarkan keadaan mayat, ia seperti sudah lama dan telah dimakan oleh biawak,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan anggota keluarga boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.