Pemilihan PKR : Khalid Yakin Menang Jawatan Timbalan Presiden

Bestari Jaya – Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yakin dapat memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR walaupun penyandangnya, Mohamed Azmin Ali, sedang mendahului kedudukan pada pemilihan parti itu.

Menteri besar itu berkata faktor keyakinan itu yang mendorong beliau untuk bertanding bagi jawatan nombor dua parti pada pemilihan yang bermula pada Sabtu minggu lepas.

“Saya yakin (boleh menang), sebab itu saya bertanding,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Geran Kampung Pecah Batu di Bestari Jaya hari ini.

Keputusan terkini menyaksikan Azmin mendahului dua pencabarnya apabila memperoleh 5,111 undi berbanding Khalid (2,288) dan Datuk Saifuddin Nasution (2,322).

Ditanya mengenai harapannya menjelang pemilihan parti peringkat Selangor pada 11 Mei ini, Khalid berkata beliau mempunyai harapan yang tinggi berikutan negeri itu mempunyai jumlah ahli PKR paling ramai iaitu melebihi 170,000 orang.

“Selangor merupakan negeri yang akan menjadi penentu kerana mempunyai lebih 170,000 ahli PKR selain Sabah yang mempunyai lebih 90,000 anggota,” katanya.

Khalid itu juga bakal dicabar bekas Ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam bagi jawatan ketua cabang Kuala Selangor pada pemilihan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.