Pemain Hoki Malaysia Hampa Kerana Penalti

Kuantan – Skuad hoki negara gagal mengulangi episod kemenangan menerusi penentuan pukulan penalti ketika Malaysia menundukkan New Zealand kelmarin apabila tewas 5-4 kepada Kanada dalam perhitungan itu selepas terikat 2-2 dalam saingan separuh akhir Cabaran Juara-Juara 1, semalam.

Dalam perlawanan penuh mendebarkan itu, skuad Muhammad Dhaarma Raj Abdullah bagaimanapun mula memberi tekanan kepada Kanada seawal minit kedua menerusi jaringan pukulan sudut penalti yang disempurnakan penyerang berbisa negara, Faizal Saari sebelum Ismail Abu menjarakkan kedudukan selang 13 minit kemudian.

Kanada bagaimanapun mengurangkan defisit pada minit ke-21 hasil jaringan kapten, Scott Tupper menerusi gol kegemarannya, pukulan sudut penalti.

Memasuki babak kedua, Kanada nyata mencari peluang menerusi pukulan sudut penalti apabila menerima enam tetapi empat daripadanya gagal disempurnakan dengan baik.

Namun, tunjang pasukan dan juga senjata utama Kanada, Tupper menggunakan salah satu daripada peluang itu dengan menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-59.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.