Pakatan Rakyat Bakal Berpecah – Tegas Kit Siang

Kuala Lumpur – Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa sejarah buruk Barisan Alternatif pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 akan berulang jika PAS berdegil meneruskan undang-undang hudud di Kelantan.

Beliau mendakwa, Barisan Alternatif yang kini dikenali sebagai Pakatan Rakyat pasti tidak mencatat keputusan memberangsangkan pada PRU 2013 jika PAS membangkitkan isu itu pada waktu itu.

“Pengundi memilih pakatan yang turut dianggotai PAS pada PRU 2013 kerana mahu mengubah kerajaan, bukan kerana hudud. Lagipun mereka yang tidak menyokong hudud bukan kerana anti-Islam.

“Pasti pakatan tidak dapat menafikan majoriti dua pertiga untuk Barisan Nasional (BN) jika hudud menjadi agenda pakatan semasa PRU 2013 dan berkemungkinan kalah teruk,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Pada PRU 2004, BN menang dengan majoriti besar bagi menewaskan Barisan Alternatif yang merupakan gabungan parti pembangkang pada waktu itu.

Kit Siang turut mendakwa, DAP tidak akan memenangi empat kerusi Parlimen dan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor, manakala PAS mungkin kalah di empat kerusi DUN dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kalah satu kerusi Parlimen serta satu kerusi DUN di negeri itu jika PAS mengentengahkan isu hudud.

“Rakyat Malaysia mahukan pakatan pembangkang tetapi jika hudud menjadi isu besar, pakatan akan kembali ke arah Barisan Alternatif yang merugikan PAS, DAP dan PKR,” dakwanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.