Lapor Berita Spekulasi, Wartawan Asing Tiada Etika

 

SHAH ALAM – Ketua Editor bagi akhbar Bangkok Post- Thailand, Pichai Chuensuksawadi membidas wartawan asing yang mewujudkan spekulasi dan dakwaan liar berhubung dengan insiden kehilangan pesawat MH370 yang digembar-gemburkan sejak 8 Mac lalu.

Mengulas semula dakwaan sesetengah wartawan asing yang cuba mencetuskan kontroversi dan provokasi dalam kalangan keluarga penumpang dan anak kapal MH370, beliau turut menyifatkan wartawan asing tidak mempunyai etika dalam melaksanakan tugasnya.

“Sebagai wartawan, kita telah diajar untuk menyampaikan kebenaran dalam penulisan dan pemberitaan, kita memiliki kebebasan untuk menulis serta menyampaikan apa sahaja selagi sesuatu berita atau maklumat tersebut disokong oleh fakta atau kenyataan dari mana-mana pihak.

“Hanya wartawan yang tidak tahu apa yang patut disampaikan saja yang menulis berita berunsur dakwaan dan khabar angin,” katanya ketika ditemui oleh wartawan Sinar Harian Online di program ‘World Press Freedom Day’ di Unisel, Shah Alam, hari ini.

Menurutnya lagi, sikap wartawan asing yang menulis berita mencetuskan kontroversi kehidupan peribadi pembantu juruterbang MH370, Fariq Abdul Hamid dianggap tidak profesional dan menyalahi etika kewartawanan.

“Wartawan yang baik dan berkaliber akan menulis dan menyampaikan maklumat demi kepentingan umum, bukan untuk kepentingan diri atau syarikat,” tambahnya lagi.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta pihak media supaya lebih berhati-hati dalam mengulas serta mengupas pemberitaan isu semasa supaya tidak menimbulkan kontroversi dan kemarahan sesetengah pihak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.