Jawatan Presiden FAM, Tengku Mahkota Johor Masih Berteka-Teki

Johor Bahru – Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim masih belum memutuskan sama ada bertanding jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada pemilihan 25 Mei depan.

Tunku Ismail berkata baginda dapat membayangkan keputusan pemilihan jawatan itu tidak akan berpihak kepadanya.

Saya tidak berminat dan tidak pandai berdrama. Sebab itulah saya tidak berharap sangat (jadi Presiden FAM),” kata baginda selepas majlis pengenalan dua pemain import baharu pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) di sini, hari ini.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor berkata demikian sebagai mengulas persaingan tiga penjuru merebut jawatan itu antara baginda, Presiden FAM Sultan Ahmad Shah dan Timbalan Presiden FAM, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah.

Pada masa yang sama, baginda berkata tidak ramai ‘orang lama’ FAM yang memihak kepadanya selain baginda sendiri merasakan kurang pengalaman untuk menerajui badan induk bola sepak negara itu.

Tunku Ismail berpendapat Tengku Abdullah paling layak memegang jawatan itu kerana lebih berpengalaman untuk memimpin selain mampu membangunkan mutu sukan bola sepak negara.

“Pengalaman, bagaimanapun, bukanlah kriteria yang utama sebaliknya sikap dedikasi dan pengorbanan merupakan perkara paling penting dalam membawa perubahan kepada kemajuan bola sepak negara.
“Saya setuju saya masih muda dan banyak perlu belajar. Namun, pada pandangan saya, jika FAM masih dipegang oleh barisan pengurusan tertinggi yang sama, maka ia tidak akan memperlihat sebarang perubahan,” kata baginda.

Ditanya sama ada baginda akan menghadiri pemilihan itu kelak, Tunku Ismail berkata ia bergantung kepada situasi pada waktu berkenaan.

Tunku Ismail berkata sekiranya baginda dipilih sebagai presiden baharu, baginda akan berusaha membawa perubahan besar terhadap bola sepak negara seperti membangunkan akademi bola sepak, meningkatkan mutu pengadilan yang profesional mahupun menyediakan peruntukan kewangan yang mencukupi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.