Hudud PAS Yakin Dapat Majoriti Mudah

KOTA BHARU 3 Mei – Kerajaan Pas Kelantan yakin mampu memperoleh majoriti mudah untuk melaksanakan hukum hudud di negeri ini biarpun tanpa sokongan ahli Parlimen bukan Islam apabila rang undang-undang persendirian dibentangkan di Dewan Rakyat nanti.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, Pas bagaimanapun memerlukan undian semua wakil Islam untuk menyokong rang undang-undang tersebut.

Pada masa sama, beliau masih menaruh keyakinan mampu memperoleh undi daripada ahli Parlimen bukan Islam jika mereka mendapat penjelasan yang jelas tentang hukum hudud.

“Kita yakin mampu memperoleh majoriti mudah iaitu 112 undian nanti.

“Tetapi kita mahu merayu kepada semua ahli Parlimen yang beragama Islam untuk memberi sokongan padu bagi melaksanakan undang-undang Allah yang berasas kepada keadilan dan kebijaksanaan ini,” kata beliau kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Jambatan Pulau Kundur, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Hanifa Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan, Datuk Md. Anizam Abdul Rahman.

Jambatan yang menelan belanja kira-kira RM3.6 juta itu dibiayai Kerajaan Pas Kelantan dijangka memberi kemudahan kepada kira-kira 2,000 penduduk setempat selain merancakkan aktiviti pelancongan di Pantai Kundur.

Ahmad berkata, Kerajaan Pas Kelantan akan berusaha ‘melobi’ untuk mendapatkan sokongan daripada semua ahli Parlimen tanpa mengira agama bagi meluluskan rang undang-undang persendirian yang bakal dibentang nanti.

“Kita kekurangan empat undi selepas dicampur undi ahli parlimen Pas dan UMNO seperti yang dinyatakan akhbar.

“Jadi yang empat itu, dalam pakatan pembangkang masih ada ahli Parlimen Islam. Sebab itu, kita yakin boleh dapat sekurang-kurangnya majoriti mudah,” ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, Ahmad turut mengumumkan bakal membina dua lagi jambatan di Pulau Kundur pada 2015 yang dijangka menelan belanja sebanyak RM5 juta.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.