Hina Islam : Pemilik Resort Bina Tandas Mirip Masjid?

SEBUAH resort di Desaru, Kota Tinggi, Johor mencetuskan kontroversi apabila sebuah bangunan tandas di dalam resort berkenaan didakwa menyerupai masjid.

Gambar bangunan kecil itu yang mempunyai tiga kubah tersebar melalui blog pembangkang pada hari ini mendakwa tandas awam yang menyerupai masjid sebegitu hanya boleh ditemui di negeri yang ditadbir UMNO.

Bangunan berkenaan terletak dalam kawasan Lotus Desaru Beach Resort, pantai Desaru, Kota Tinggi, Johor dan didakwa ia seperti menghina agama Islam dengan rekabentuk sebegitu.

Pemeriksaan lanjut, penulis berjaya menghubungi pihak resort berkenaan dan menurut kakitangan resort yang enggan namanya disiarkan, bangunan berkenaan memang memiliki kubah bagaimanapun ia telah wujud sejak tahun 90-an lagi di resort berkenaan.

Bagaimanapun, baru-baru ini pihak resort ingin memperindahkan lagi bangunan itu dan sejak itu ia menjadi perhatian orang ramai dengan corak binaan ala-ala Maghribi yang ditonjolkan melalui kubah berkenaan.

Menurut kakitangan itu, pihaknya menyedari kontroversi berkenaan pagi tadi apabila ia tersebar di internet dan beliau berkata pihak resort sudah pun bertindak menanggal dan menurunkan khubah berkenaan.

Katanya, pihak Jabatan Agama Islam Johor juga sudah hadir dan melihat bangunan itu ekoran kontroversi berkenaan.

Sebelum ini, sebuah resort berhampiran di Tanjung Sedili juga mencetus kontroversi apabila sebuah bangunan yang digunakan sebagai surau di Tanjung Sutera Resort telah disalahgunakan sebagai lokasi membuat ritual agama Buddha.

Hasilnya, kini bangunan di Tanjung Sedili itu sudah pun dirobohkan dan pemilik resort berkenaan turut ditahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.