PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan perbincangan melalui panggilan telefon bersama beberapa pemimpin negara anggota ASEAN bagi membincangkan isu tarif timbal balik yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS).
Menurut Anwar, perbincangan tersebut melibatkan pemimpin dari Indonesia, Filipina, Brunei Darussalam dan Singapura bagi mendapatkan pandangan serta menyelaras tindakan bersama dalam menangani isu perdagangan tersebut.
“Hari ini saya berkesempatan mengadakan perbincangan menerusi perbualan telefon bersama pimpinan negara ASEAN antaranya Indonesia, Filipina, Brunei Darussalam dan Singapura bagi mendapatkan pandangan serta menyelaraskan tindak balas bersama terkait isu tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS),” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, menurut Anwar, berhasrat untuk memastikan wujud kesepakatan dalam kalangan negara anggota dalam mempertahankan prinsip keadilan dan kesaksamaan dalam sebarang rundingan perdagangan, termasuk dengan rakan dialog seperti AS.
“Selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia mahukan kesepakatan sesama negara anggota dalam mewujudkan prinsip keadilan dan kesaksamaan dalam sebarang perundingan perdagangan antara negara, termasuk hubungan rakan dialog ASEAN-AS,” tambah beliau.
Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa isu tersebut akan dibincangkan secara lebih terperinci dalam Mesyuarat Peringkat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN yang dijadualkan berlangsung minggu hadapan.
“Insya-Allah, Mesyuarat Peringkat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN minggu depan akan terus membincangkan perkara ini dan mencari solusi terbaik buat keseluruhan negara anggota,” jelasnya.