KUALA LUMPUR- Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengakui beliau tidak melihat dan tidak mengetahui sebarang bahagian tambahan atau titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung kebenaran Datuk Seri Najib Razak menjalani baki pemenjaraan selama enam tahun di rumah.
“Tidak, tidak (saya tidak melihat sebarang tambahan berkaitan Najib).
“Saya bukan ahli Lembaga Pengampunan. Saya juga tidak tahu,” katanya di Putrajaya pada Khamis.
Beliau ditanya sama ada telah melihat titah tambahan berkenaan seperti yang didakwa peguam Najib, Tan Sri Shafie Abdullah.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 17 April untuk mendengar permohonan Najib kerajaan mendedahkan “dekri tambahan” yang didakwa dibuat bekas Agong yang membenarkan bekas perdana menteri itu menjalani hukuman penjaranya menerusi tahanan di rumah.
Peguam, Tan Sri Shafee Abdullah memaklumkan Hakim Amarjeet Singh bahawa Najib ingin mendapatkan afidavit tambahan bagi menyokong permohonannya.
Bagaimanapun, beliau berkata deponen afidavit yang dimaksudkan itu tiada di Malaysia dan hanya akan kembali selepas Hari Raya.
Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly meminta peguam menyampaikan afidavit itu sebelum tarikh perbicaraan.
Najib mendakwa bekas Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dari Pahang mengeluarkan “dekri tambahan” semasa mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 29 Jan, sehari sebelum tamat pemerintahannya sebagai Agong.
Pada 2 Feb, lembaga itu mengumumkan hukuman penjara 12 tahun dalam kes SRC International Najib dikurangkan kepada enam tahun manakala dendanya RM210 juta diturunkan kepada RM50 juta.
Tidak ada mana-mana bahagian daripadanya yang menyebut ia ditukar kepada tahanan di rumah.
Najib, yang sedang menjalani hukuman di penjara Kajang, dijadualkan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Bekas perdana menteri itu mahu agar kerajaan melaksanakan “dekri tambahan” yang dikatakan membenarkan beliau menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah.
Mahkamah hari ini juga menolak permohonan Badan Peguam Malaysia untuk melakukan pemerhatian terhadap kes itu.
Amarjeet berkata, Badan Peguam, yang diwakili oleh Abhilaash Subramaniam, boleh kembali ke mahkamah jika bekas perdana menteri itu dibenarkan meneruskan cabaran undang-undangnya.