PETALING JAYA: DAP perlu ‘cakap serupa bikin’ untuk mengetengahkan lebih ramai pemimpin Melayu dalam keanggotaan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu sekiranya mahu menghapuskan tanggapan sebagai parti yang hanya didominasi satu kaum tertentu sahaja.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas wakil rakyat DAP, Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, persepsi pengundi Melayu terhadap DAP tidak akan berubah selagi kaum itu dilihat sekadar sebagai kumpulan minoriti dan hanya menghiasi organisasi parti.
Beliau kemudian menjelaskan, sekurang-kurangnya perlu ada enam wakil Melayu dalam CEC yang dilihat bertepatan matlamat DAP untuk menarik lebih ramai sokongan kaum Melayu dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Tidak kira apa pun parti, semua kena ada usaha dan nawaitu untuk meletakkan sama kaum dalam jawatankuasa kepimpinan parti. Selagi perkara ini tidak berlaku, selagi itu orang Melayu tidak percaya DAP.
“Bagaimanapun kepemimpinan DAP perlu berubah walaupun tidak dinafikan pemilihan parti baru-baru ini berlaku perubahan tampuk kepemimpinan, namun masih ada orang lama yang berada CEC. Jadi dua isu iaitu penyertaan orang Melayu dan muka lama merupakan masalah membelenggu sejak dulu hingga kini yang perlu diselesaikan segera,” katanya.
Kelmarin, Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook melahirkan kebimbangan terhadap penyertaan orang Melayu dalam parti itu ekoran pemilihan CEC DAP pada 20 Mac lalu menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura menjadi wakil tunggal Melayu terpilih menganggotai CEC DAP bagi penggal 2022 hingga 2025 daripada 10 orang wakil Melayu bertanding.
Bagaimanapun selepas pemilihan itu, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dan Syahredzan Johan dilantik ke dalam CEC.
Dalam pada itu, Norhizam Hassan yang dikenali ‘YB Viral’ tidak menafikan langkah DAP meletakkan calon Melayu membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen sewaktu pilihan raya lalu merupakan strategi untuk menarik memancing undi kaum itu.
Namun bekas ADUN Pengkalan Batu, Melaka tersebut menjelaskan, tiada timbul isu berhubung perkara itu setiap parti akan melakukan perkara sama sebagai salah satu usaha meraih demi kemenangan pilihan raya.
“Tetapi parti kena telus dalam soal ini. Mereka kena jelaskan adakah hanya meletakkan calon Melayu bagi menarik undi sahaja atau sebaliknya? Akhirnya, ini terserah kepada rakyat untuk menilai.
“Sebaliknya DAP sendiri perlu berubah daripada segi kepimpinan. Saya rasa bukan Melayu yang muak, orang Cina pun sama dengan melihat prestasi Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor baru-baru ini,” ujar beliau.
– UTUSAN