ECRL: UMNO Melaka, Sabah Desak SPRM Segera Siasat Daim

- Advertisement -

Kuala Lumpur – Badan Perhubungan Umno Negeri Melaka mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar segera melakukan siasatan terhadap laporan rasuah dan salahguna kuasa membabitkan Bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin.

Pengerusinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata satu siasatan awal perlu segera di lakukan terhadap laporan berhubung Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

“Saya memohon SPRM agar beri keadilan dan kebebasan undang-undang, sesiapa sahaja tidak akan terlepas dari undang-undang (andai melakukan kesalahan)

“Jadi satu siasatan awal perlu dilakukan agar dapat dipastikan sama ada wujud penyelewengan atau tidak kerana kalau ikut sejarah, di negara ini bekas perdana menteri dan timbalan perdana menteri pernah di dakwa di mahkamah jadi apa beza kes yang melibatkan Tun Daim ini,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Bakri sebelum ini mengesahkan menerima laporan berhubung projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Beliau turut berkata SPRM akan meneliti laporan tersebut, sebelum membuat keputusan sama ada untuk meneruskan siasatan lanjut atau sebaliknya.

Menurut sumber laporan tersebut berhubung pemberian kontrak membabitkan rundingan semula projek tersebut serta kenaikan kos yang didakwa hanya RM30 bilion kepada RM44 bilion.

Menurut Ab Rauf lagi rakyat ingin tahu apakah benar wujud salahguna rasuah seperti yang di laporkan itu.

“Mungkin akan ada lebih banyak laporan dan aduan yang akan dikemukan (dalam isu ECRL) jadi SPRM perlu siasat satu demi satu supaya rakyat sebagai pembayar cukai diberikan keadilan kerana projek ECRL ini telah dipinda (dalam skala yang besar).

“Jadi sekiranya ada berlaku penyelewengan sila dedahkan kepada rakyat supaya tiada siapa pun yang boleh terlepas dari tindakan undang-undang,” katanya pula.

Sementara itu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata kelewatan membuka kertas siasatan terhadap kes ini boleh menimbulkan persepsi negatif rakyat terhadap SPRM.

“Memang menjadi tanggungjawab SPRM untuk menyiasat laporan atau aduan yang dibuat oleh masyarakat dan sekiranya ada unsur-unsur rasuah tindakan perlu diambil ke muka pengadilan.

“SPRM perlu bertindak segera (menyiasat) kerana nanti masyarakat akan menyangka SPRM tidak mahu melakukan apa-apa,” jelasnya pula.

Menurut Ahli Parlimen Kinabatangan itu lagi SPRM dilihat seakan berlembut terhadap pimpinan Pakatan Harapan (PH) berbanding isu yang melibatkan Barisan Nasional dan UMNO.

“Dahulu ketika zaman Pakatan (PH memerintah) siasatan belum bermula malah ada kes yang melibatkan pemimpin BN/Umno belum ada bukti sudah ada yang diheret ke mahkamah.

“Jadi kenapa SPRM agak berlembut (dalam kes ini) kerana isu ini bukan main-main, jadi saya menyeru SPRM agar menggalas tugas dan amanah dengan seadilnya,”

Laporan terhadap Daim dibuat di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, Isnin lalu. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat