Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah Mula Beroperasi

KUALA LUMPUR – Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah ditubuhkan secara rasmi di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di ibu negara.

Ia akan beroperasi dan berkuat kuasa serta-merta.

Majlis perasmian mahkamah khas itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Menurut Jamil Khir, kewujudan Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah mampu mempercepatkan proses kes perceraian, hak penjagaan anak dan nafkah.

“Maksud Mahkamah Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah ini ialah untuk menyelesaikan secara sekali harung atau sekali gus kerana kebiasaan amalan pada hari ini, proses untuk perceraian, proses menuntut nafkah dan hak penjagaan mengambil tempoh yang agak panjang.

“Kesannya masyarakat melihat Mahkamah Syariah ini kerana faktor-faktor tadi kerana agak lambat atau mengambil tempoh yang agak panjang,” katanya selepas melancarkan Majlis Pengisytiharan Penubuhan Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah di sini hari ini.

Jelasnya, penubuhan mahkamah itu juga memastikan golongan wanita dan anak terutamanya terus mendapat pembelaan yang sewajarnya.

“Jadi inovasi telah difikirkan di mana pakar-pakar mahkamah syariah telah dihimpunkan, begitu juga mereka yang mempunyai latar belakang termasuk barisan peguam, hakim, berbincang macam mana kita nak ambil satu pendekatan bagi mempercepatkan proses ini..

“Sebab lambat proses akan memberi kesan yang agak mendalam kepada pihak-pihak berkepentingan lebih-lebih lagi pihak wanita dan anak-anak, apatah lagi anak-anak itu masih kecil dan memerlukan tumpuan kasih sayang dan kewangan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim yakin penubuhan mahkamah khas itu memberi harapan yang tinggi kepada mereka yang terkesan dengan penangguhan kes mahkamah.

“Kita nak mempercepatkan (kes tertunggak) supaya mereka boleh meneruskan kehidupan. Keduanya, isu penjagaan anak, kalau asyik tertangguh dan sebagainya, sebenarnya seluruh keluarga itu terkesan dengan hal perceraian.

“Ini sesuatu yang baik mentelah lagi dengan Tahun Memperkasa Wanita ia memberi makna kepada mereka yang terkesan dan melaluinya,” tambahnya.

Pada masa sama beliau mencadangkan agar mahkamah khas itu turut diperluaskan ke negeri-negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak.

“Harapan saya supaya ia dapat dibuka juga di negeri-negeri lain,” ujar beliau. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.