BN Perangi Fitnah Pembangkang Habis-Habisan

LABIS – Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan memerangi fitnah pembangkang habis-habisan bagi memastikan rakyat tidak tertipu atau terkeliru selain menjaga keharmonian negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, BN tidak seperti Pakatan Harapan yang gemar menabur tohmahan selain menawarkan madu tetapi sebenarnya mengandungi racun.

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, apa yang dijanjikan pembangkang kepada rakyat telah lama direalisasikan kerajaan.

“BN telah mengatur perancangan begitu lengkap, tersusun dan keterhadapan. Johor merupakan negeri contoh yang pesat pembangunan dan kemajuan ekonominya.

“Di Selangor, pemimpin dapat undi, rakyat dapat baldi, manakala di Pulau Pinang, kerajaannya buat terowong, tetapi tidak nampak cahaya di hujungnya,” kata beliau.

Najib berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Muafakat Pemimpin Bersama Rakyat dan Pecah Tanah Projek Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) di Bukit Mambai.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong yang juga Ahli Parlimen Labis dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani.

Najib turut menepis dakwaan pembangkang yang mendakwa kerajaan akan memberi kewarganegaraan kepada 800,000 warga China di Forest City selain menjual tiga pulau di Kedah kepada negara itu.

Dalam majlis tersebut, Najib meluluskan peruntukan seba­nyak RM5 juta bagi pembinaan sebuah mini stadium di daerah ini yang akan memberi manfaat kepada penduduk sekitar, lapor Utusan

“Selain itu, saya juga meng­izinkan kerajaan negeri untuk memasukkan perancangan menaik taraf Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) laluan Ayer Hitam ke Johor Bahru ke dalam manifesto BN negeri bagi pilihan raya umum akan datang,” tambahnya.

Beliau turut menyempurnakan majlis pecah tanah projek RMMJ melibatkan sejumlah 380 unit RMMJ, Perumahan Komuniti Johor A dan Perumahan Komuniti Johor B berharga antara RM42,000 dan RM150,000.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.