1.6 Juta Penjawat Awam Terima Kenaikan Gaji Tahunan

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kenaikan satu gaji tahunan untuk 1.6 juta penjawat awam berkuat kuasa 1 Julai.

Mengumumkan berita gembira itu pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-16 (Mappa XVI) yang dihadiri kira-kira 10,000 anggota perkhidmatan awam, Najib yang juga Menteri Kewangan, turut mengumumkan beberapa insentif untuk penjawat awam dan golongan pesara.

Beliau berkata pemberian kenaikan gaji itu sebagai  menghargai jasa dan pengorbanan serta penat lelah para penjawat awam sebagai kawan setia kerajaan dan kenaikan ini akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.46 bilion.

“Ini bermakna penjawat awam mendapat tambahan satu lagi kenaikan gaji tahunan di samping pergerakan gaji tahunan yang diterima bagi tahun 2018,” katanya yang disambut sorakan dan tepukan gemuruh penjawat awam sambil berdiri sebagai tanda penghargaan.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid  Hamidi, menteri-menteri kabinet, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Zainal Rahim Seman dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda.

Mappa merupakan acara tahunan di mana perdana menteri akan menyampaikan amanat kepada anggota perkhidmatan awam daripada pelbagai perkhidmatan di peringkat persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan serta syarikat berkaitan kerajaan.

Sebagai sebuah kerajaan yang menghormati kepelbagaian kaum dan agama di negara ini, Najib berkata kerajaan bersetuju memanjangkan kemudahan cuti tanpa rekod selama maksimum tujuh hari sepanjang tempoh perkhidmatan kepada penjawat awam bukan Islam bagi menunaikan aktiviti keagamaan masing-masing berkuat kuasa Januari tahun ini.

Menurutnya, pada pengumuman Bajet 2018, kerajaan telah meluluskan kemudahan cuti tanpa rekod selama tujuh hari bagi tujuan umrah kepada penjawat awam beragama Islam.

Perdana menteri dalam pada itu berkata kerajaan  juga bersetuju menyediakan sumbangan tahunan kepada Cuepacs sekurang-kurangnya RM3 juta setahun.

Bagi mewujudkan kebajikan yang berimbang antara penjawat awam dan pesara kerajaan, Najib pada majlis itu turut mengumumkan tiga insentif untuk  kumpulan pesara yang mencecah kira-kira 800,000 orang.

Beliau berkata kerajaan  bersetuju untuk memberikan sebanyak satu peratus kenaikan kadar pencen secara sekali bayar mulai 1 Julai sehingga 31 Disember 2018 sebagai tambahan kepada dua peratus yang diterima oleh pesara pada 1 Jan tahun ini.

“Untuk makluman, manfaat ini bakal diterima oleh semua pesara di seluruh Malaysia malahan pesara yang umurnya 93 tahun itu pun dapat juga’,” katanya disambut dengan ketawa hadirin  terhadap usikan itu.

Setakat ini, katanya, faedah persaraan seperti pencen, ganjaran dan Gantian Cuti Rehat diperuntukkan kepada pesara kerajaan pada tahun 2018 sahaja  adalah sebanyak RM24 bilion.

Najib dalam pada itu berkata kerajaan mengambil maklum akan keupayaan persatuan-persatuan pesara kerajaan untuk menganjurkan pelbagai aktiviti bagi mengaktifkan peranan pesara.

Bagi melancarkan perancangan aktiviti tersebut, beliau berkata kerajaan bersetuju untuk memberikan geran khas sebanyak RM1 juta ringgit kepada setiap persatuan pesara iaitu Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia, Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia dan Kelab Pesara Kerajaan 1Malaysia (Kupekmas).

Najib berkata kerajaan akan memperuntukkan kuota untuk persatuan pesara kerajaan menunaikan haji bermula tahun 2018.

“Bagi memastikan pesara kerajaan berpeluang untuk menunaikan fardu haji bermula tahun ini, maka saya bersetuju untuk menetapkan satu kuota yang akan diumumkan selepas kerajaan mendapat jumlah kuota yang diperuntukkan kepada Malaysia oleh kerajaan Arab Saudi,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.