Video : Orang Ramai Kecewa Debat Tun M-Nazri Batal

KUALA LUMPUR – Ramai pihak tidak berpuas hati apabila pembatalan permit debat antara bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz tidak dapat diteruskan disebabkan faktor keselamatan.

Tinjauan SuaraTV mendapati, rata-rata diantara mereka melahirkan rasa kecewa kerana menyifatkan debat itu demi untuk mendapatkan penjelasan isu yang selama ini ditunggu oleh rakyat.

Pekerja swasta, Syafiq Ali yang ditemui menyifatkan debat ini suara demokrasi yang seharusnya diteruskan oleh pucuk pimpinan.

“Saya agak kecewa perdebatan antara Tun M dan Nazri dibatalkan. Debat ini adalah penjelasan yang dimahukan rakyat, bukan dari saya sahaja bahkan orang lain juga sependapat dengan saya. Saya sangat tidak bersetuju pihak polis tak beri pelepasan,”katanya.

Manakala, menurut pekerja swasta, Mohd Arif Fani menyifatkan Malaysia sebagai negara bebas untuk bersuara dan tidak perlu menyekat hak kebebasan itu.

“Sebenarnya negara kita ni bebas sepatutnya diberikan kebebasan untuk semua pihak bersuara. Kira tak wajarlah pihak polis batalkan program itu, kerana program tersebut untuk pengetahuan rakyat Malaysia.

“Kita sebagai rakyat Malaysia, kita bebas untuk bersuara. Sepatutnya pihak polis meneruskan program itu untuk kepentingan rakyat Malaysia amnya,”katanya.

Sementara itu, pesara, Sundar Raj yang ditemui berkata, debat itu demi kebaikan negara kerana ia bersesuaian dengan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.

“Ia baik untuk sebuah negara demokrasi demi menggalakkan seluruh sistem demokrasi. Dan kita boleh gelarkan kita sebagai sebuah negara yang demokrasi. Rakyat Malaysia adalah berfikiran terbuka, hari ini mereka telah pergi ke negara luar dan melihat bagaimana mereka (negara barat) dan membandingkan negara ini dengan negara luar.

“Segelintir daripada mereka tidak begitu gembira kerana ada beberapa perkara yang terbatas untuk dilakukan. Jadi kita mesti menggalakkan benda baik. Jadi kita perlu teruskan kebaikan itu untuk kelangsungan hidup yang lebih baik,”katanya.

Terkini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan wujud campur tangan politik dalam pembatalan debat tersebut.

Beliau berkata keputusan membatalkan permit debat di Kuala Kangsar dan Shah Alam itu dibuat sepenuhnya oleh Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat dan Pemangku Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan.

Ditanya sama ada keputusan itu akan dikaji semula, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata beliau sedia meneliti arahan-arahan Ketua Polis Selangor dan Pemangku Ketua Polis Perak berhubung pembatalan permit itu serta alasan yang diberikan.

Bagaimanapun, jika pihak polis menasihatkan supaya debat itu tidak diteruskan, beliau akan menghormati cadangan dan keputusan tersebut, kata beliau. SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.